Monday, October 6, 2008

MPP UiTM jumpa Khalid

Shah Alam, 22September - Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim mengotakan janjinya untuk bertemu pimpinan MPP UiTM berhubung isu membuka 10% tempat di IPTA tersebut untuk bukan Melayu.

Perjumpaan yang diadakan di Kediaman Rasmi MB tersebut dihadiri 6 orang dari MPP UiTM termasuk Presiden Luqman Nul Hakim di samping Datuk Dr. Mohammed Ariffin Aton yang terlibat mengasaskan UKM di samping menjadi CEO Sirim sebelum ini, YB Dr. Halimah Ali (Exco Pendidikan dan Modal Insan), YB Dr. Dzulkifli Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor / Pengarah Pusat Penyelidikan PAS) dan ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Selepas program tersebut, Khalid menjadi tuan rumah kepada lebih 200 mahasiswa dari seluruh Selangor untuk berbuka puasa, solat Maghrib, makan malam dan solat Tarawikh.
Masing-masing meluahkan pandangan mereka secara telus dan terbuka.Khalid di dalam pertemuan tersebut menegaskan Bumiputera generasi ini perlu memikirkan bagaimana memperkasakan daya saing mereka, dan bukan sekadar memikirkan untuk membuka tempat kepada pelajar bukan Bumiputera tempatan, malah pelajar antarabangsa. Beliau menggunakan contoh kejayaan UIAM dalam isu ini di samping pencapaian profesional Melayu di Dubai.

Dr. Ariffin pula menegaskan bahawa melontarkan pandangan tersebut bukan bermakna Kerajaan Negeri anti-Melayu. Ini turut disokong oleh Dr. Dzulkifli yang menyifatkan amatlah malang kenyataan tersebut disensasikan oleh BN bagi menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pauh. Jika tidak, ia membuka peluang untuk satu wacana yang benar-benar konstruktif untuk menilai apakah langkah yang perlu diambil untuk kita bergerak ke depan.

ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan dalam pertemuan tersebut bahawa Kerajaan Negeri menyambut secara terbuka pandangan berbeza yang diberikan mahasiswa, tetapi berharap semangat ini diperkembangkan untuk perkara lain, bukan isu ini semata-mata. Apatah lagi isu ini diperhangatkan oleh media, sedangkan komen asal Dr. Halimah cumalah bagi menjawab persoalan yang dilontarkan wartawan. Beliau juga meminta semua jangan membiarkan emosi bermaharajalela tetapi menggunakan akal dan hujah untuk menilai jamak pandangan.

Di pihak pelajar UiTM, mereka memberi beberapa pandangan - antaranya masanya belum sesuai dan juga ada cara lain yang boleh digunakan untuk mencapai objektif yang sama.
(sumber : niknazmi.com)

No comments: