Friday, January 8, 2010

Memo berjaya diserah, lebih 1000 berhimpun bantah Mesir


Lebih seribu berhimpun secara aman di hadapan Kedutaan Mesir di ibu negara hari ini bagi menyerahkan memorandum membantah tindakan kerajaan negara itu yang bersekongkol dengan Israel menindas umat Islam Palestin.

Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) itu bermula di perkarangan Kompleks Tabung haji selepas solat Jumaat tengahari tadi dan seterusnya berarak lebih kurang 4 kilometer ke Kedutaan Mesir yang terletak di Jalan Rhu, Ampang.

Perarakan diketuai Ketua DPPP, Nasrudin Hassan dan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Himpunan kali ini bagi membantah tindakan kerajaan Mesir yang menghalang pasukan konvoi Palestin di Pelabuhan El-Arish, yang mahu menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan bernilai lebih AS$1 juta kepada rakyat di sana.

Laungan takbir dan 'Hidup Islam', 'Hancur Yahudi, 'bebasPalestin,bebas Al Aqsa, 'hancur Hosni Mubarak' bergema dalam perarakan itu.

Pelbagai bentuk bantahan dizahirkan termasuk memakai mafla warna bendera Palestin, sepanduk mengecam Mesir dan Israel serta bermacam lagi.

Turut bergema sepanjang perarakan adalah nyanyian lagu nasyid "Al-Amalulillah" yang bermaksud 'beramal kerana Allah' sebagai pembakar semangat peserta himpunan.

Pihak keselamatan mengawal baik himpunan dengan menjaga lalu lintas untuk memberi laluan kepada peserta himpunan.

Manakala pasukan Unit Amal menjadi barisan hadapan dan menjaga keselamatan peserta himpunan.

DPPP meminta pihak Kedutaan membenarkan lima wakil mereka masuk untuk meyerahkan memorandum namun hanya empat orang sahaja yang dibenarkan masuk.

Mereka ialah Salahudin, Nasrudin, Timbalan DPPP, Azman Shapawi Abdul Rani dan Ketua Muslimat, Nuridah Salleh.

Sementara menunggu pertemuan dan serahan memorandum selesai di dalam, beberapa peminpin berucap dengan menyampaikan pidato kepada peserta himpunan di luar pimtu masuk bangunan kedutaan dengan dikawal sebilangan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Antara yang berucap Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, AJK PAS Pusat Dr. Dzulkifli Ahmad, Hanipa Maidin dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mat Akin.

Kesemua mereka mengutuk keras tindakan kerajaan Mesir yang didakwa bersekongkol dengan rejim Zionis menindas umat Islam Palestin.

Mereka juga menyeru Umat Islam seluruh dunia bangkit membuat penentangan berterusan di atas sikap kerajaan Mesir tersebut.

Memorandum bantahan berkenaan bagaimanapun berjaya diserahkan kepda Duta Mesir,Hani Abdel Kader Ahmed sendiri dalam pertemuan hampir 15 minit.

"Kami telah menyatakan hasrat kami agar Mesir memainkan peranan penting membenarkan aktivis antarabagsa menghantar bantuan mereka ke Gaza.

"Beliau berjanji untuk mainkan peranan penting dan menyatakan kesedian memberikan bantuan kepada umat Islam Palestin," beritahu Salahudin pada sidang media sejurus menyerahkan memorandum bantahan tersebut.

Selain itu, Mesir juga jelasnya perlu menunjukkan sikap lebih toleran dan terbuka dalam meyelesaikan masalah umat Palestin dan tidak terus menerus dilihat sebagai boneka Amerika.

Dikesempatan sama, Salahuddin juga menyampaikan ucapan penghargaan tidak terhingga PAS buat semua badan-badan dunia sama ada Islam mahupun bukan Islam, yang sentiasa teguh di belakang umat Islam Palestin.

Manakala Nasrudin pula memberitahu, turut dituntut agar Mesir menghentikan usaha membina tembok di sempadan negara itu yang dilihat sengaja untuk mengepung penduduk Palestin.

"Kami juga meminta kerajaan Mesir segera menghentikan usaha membina tembok sepanjang 6 kilometer menyebabkan ummat Islam Palestin bagai terpenjara, dihalang makanan,minuman, bekalan perubatan.

"Andaikata berlaku peperangan, sudah tentu sukar bagi umat Islam Palestin untuk keluar menyelamatkan diri," kata Nasrudin.

Umno pasang perangkap dalam isu kalimah "Allah"

Apa pun kontroversi yang tercetus di sebalik isu penggunaan kalimah Allah, masyarakat khususnya orang Islam perlu bertenang dan tidak terikut-ikut dengan mainan emosi yang cuba disemarakkan oleh Umno dan NGO bonekanya.
Tindakan provokasi Umno dan kumpulannya itu sebenarnya memburukkan lagi suasana dan mencemarkan lagi imej agama Islam yang mengajar penganutnya supaya rasional dan berhikmah.

Lakonan Umno ini memang melucukan memandangkan parti itulah suatu masa dulu ghairah mahu menghapuskan perkataan Islam pada PAS atas alasan kononnya tidak mahu ia disalahguna. Ada pemimpin Umno juga yang celupar mulut memperlekeh undang- undang dan hukum-hakam Islam.

Tetapi dalam isu Allah, mereka kemaruk pula menonjolkan diri sebagai wira agama kononnya, termasuk berdemonstrasi yang suatu masa dulu mereka kata ia satu perbuatan bodoh dan membuang masa.

Memang diakui isu ini sangat sensitif, kerana itu menangani isu sebegini perlu bijak dan rasional.

Bagi kalangan ulama Islam, terdapat dua pendapat berkenan perkara ini. Antara ulama yang mengharuskan penggunaaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah Syeikh Fauzi Al-Zafzaf, iaitu bekas Timbalan Reaktor Al-Azhar yang sekarang menjawat jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Dialog Antara Agama Universiti Al-Azhar

Konsensus 2 badan pelajar UM: Hidupkan wacana antara kaum

Ketika isu kontroversi kalimah “Allah” kini muncul debat panas, pertubuhan mahasiswa Islam dan Kristian Universiti Malaya (UM) mencapai konsensus bersama, antara lain menggesa agar wacana dan dialog antara agama diberikan ruang dengan seadil-adilnya kepada semua agama supaya prasangka yang tidak berasas dalam menilai agama lain dapat dielakkan.

Ia merupakan sebahagian daripada konsesus bersama dicapai oleh Persatuan Mahasiswa Islam UM dan Persatuan Kristian Varsiti UM berhubung isu-isu agama dan kepercayaan pada masa sekarang khususnya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Katolik Herald menggunakan kalimah 'Allah.

Kedua-dua pertubuhan itu juga berpendapat badan-badan dan institusi-institusi agama, bahkan pemimpin-pemimpin agama wajar mengambil langkah proaktif dengan berjumpa dan meningkatkan persefahaman di antara mereka dan pengikut agama-agama masing-masing.

Justeru, dalam mesej persefahaman ini juga, kedua-dua pertubuhan berkenaan menuntut kepada semua pihak agar memerhatikan beberapa perkara pokok yang perlu diambil tindakan segera, antaranya menuntut isu-isu agama tidak boleh dimanipulasikan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak atas apa-apa kepentingan sekalipun.

“Kami mengecam pihak-pihak yang berkepentingan dalam memainkan isu ini untuk tujuan provokatif.

“Kami menggesa agar seluruh keluarga dan masyarakat memandang serius untuk mendidik ahli komuniti masing-masing dengan kepercayaan agama yang telah dipilih melalui kaedah yang sebenarnya, bukan saduran yang bersifat tidak lengkap sehingga boleh mendatangkan sikap prejudis terhadap penganut agama lain,” kata pemimpin kedua-dua pertubuhan mahasiswa Islam dan Kristian UM dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan atas nama Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM Shazni Munir Mohd Ithnin dan Presiden Persatuan Kristian Varsiti UM Emily Tang.

Melihat kepada pelbagai polemik yang berlaku berhubung penggunaan kalimah “Allah” dan banyak lagi isu-isu agama dan kepercayaan yang berbangkit sebelum ini, kedua-dua perstuan berkenaan - pimpinan tertinggi dua persatuan besar yang menaungi mahasiswa Islam dan Kristian memutuskan untuk mengeluarkan satu persefahaman bersama berhubung isu-isu ini yang menjurus ke arah penyelesaian jangka masa panjang selain tuntutan-tuntutan yang dirasakan wajar terhadap seluruh pihak.

Ia mungkin boleh dijadikan panduan kepada semua pihak sebagai salah satu jalan yang relevan dan sesuai dalam menguruskan isu-isu yang berlaku di sekitar kepercayaan dan agama.

Selain itu mereka juga mendesak agar diberikan pendidikan yang benar dan terbaik kepada setiap penganut agama agar perbezaan dan persamaan setiap agama itu diketahui secara adil oleh semua terutama dari sudut hal-hal yang bersifat fundamental.

Justeru kata mereka perundangan bukanlah satu-satunya cara untuk menyelesaikan permasalahan yang ada dalam keadaan kemungkinan keputusan-keputusan mahkamah tersebut boleh dimanipulasi oleh sesiapa sahaja.

“Badan-badan dan institusi-institusi agama, bahkan pemimpin-pemimpin agama wajar mengambil langkah proaktif dengan berjumpa dan meningkatkan persefahaman di antara mereka dan pengikut agama-agama masing-masing,” kata mereka.