Monday, October 6, 2008

MAHASISWA:Mampukah kembali menggugat?

Lipatan sejarah telah membuktikan cubaan untuk menerobos benteng yang menyekat dikala ramai yang terkandas di tubirnya merupakan suatu usaha berani. Golongan mahasiswa yang sanggup mendepani cabaran walaupun sedikit jumlahnya perlu diberikan ruang untuk menyatakan aliran pemikiran, merencana idealisma mahupun gagasan baru yang dibawa mereka. Kesediaan mereka untuk bersama dalam suatu gerakan massa adalah perlakuan terpuji yang sudah lama terkubur dalam sejarah panjang perkembangan negara.


Mahasiswa sebegini merintis jalan baru dalam pertumbuhan minda belia seusia mereka. Mereka membuktikan bahawa gaya hidup tipikal belia semakin menampakkan perubahan. Tiada lagi yang memasang angan untuk hidup berdua di galaksi bersama sang kekasih mahupun yang pernah mengimpikan untuk menggapai bulan bagi membuktikan rasa cinta kepada si jantung hati. Mahasiswa kontemporari lebih gemar dengan wacana Islami (dalam konteks mahasiswa Islam) dan turut sama merasai denyut nadi masyarakat di sekeliling mereka.
Mahupun begitu, keberadaan mahasiswa di tengah gelora masyarakat kadangkala dilihat sebagai masalah. Suara mereka adakalanya terlalu lantang mendesak dan langsung tidak boleh digula-gulakan walaupun sedikit. Lantaran itu pergerakan mereka disekat dan langsung diterima oleh semua dengan alasan mahasiswa adalah golongan harapan yang perlu mempastikan mereka diulit oleh buku dan bersedia menghadapi peperiksaan.

Akhirnya, mahasiswa yang mulanya lantang mencanang pelbagai isu tentang hak, keadilan dan kebenaran, solidariti, kesamarataan serta kelangsungan masyarakat akan turut mati. Ia punah dan lebur dalam himpitan cita-cita dan tanggungjawab. Pembelajaran mereka di universiti pula bolehlah dianggap sebagai hanya mengisi masa lapang. Tanpa sedar, mereka telah mengabaikan amanah yang menuntut mereka menyatakan yang hak dan menyanggah yang batil.

Nilainya juga hilang diterbangkan ribut yang melanda masyarakat seputarnya. Mereka akhirnya akan dinilai sama seperti belia-belia biasa yang lebih suka terhenjut-henjut menikmati bingit muzik, tenggelam dalam budaya hedonisma. Mungkin juga mereka akan turut serta memeriahkan konsert-konsert di pesta tahun baru dan entah apa lagi wabak yang telah bernanah dan berulat dalam kalangan belia tanpa ambil peduli tentang dunia sekelilingnya.

Ketika sekularisme (pemisahan antara agama dan keduniaan) begitu parah, mahasiswa harus kembali kepada teras. Mereka bukanlah golongan yang lemah dan merelakan permasalahan bermaharajalela di depan mata. Mahasiswa juga tidak harus semata-mata menentang. Mereka juga perlu menyumbang. Sewajarnya idealisma yang jitu perlu diterjemahkan melalui pendekatan yang holistik dan realistik, perjuangan politik nilai harus terus dihiasi dengan konsistensi kekal dalam mainstream masyarakat agar status quo mahasiswa sebagai pressure group dan front liner kepada rakyat dapat direalisasikan. Tetapi dalam proses itu adakah mereka akan bangkit kembali atau mampukah mereka menggugat?-Azlan Zainal


“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu berdukacita,padahal kamulah orang-orang yang tertinggi(kedudukannya di sisi Allah) jika kamu orang yang benar-benar beriman.”- 'ali imran; 139

No comments: