Monday, July 14, 2008

PERANAN MAHASISWA DALAM MEMBENTUK MEKANISME PEMANTAPAN AQIDAH UMMAH

Dalam banyak hal,Malaysia tidak banyak berbeza daripada negara-negara Islam lain yang sedang hebat mengalami semula kebangkitan Islam.Diseluruh negara kita dapat melihat akan kesediaan rakyat untuk mengamalkan cara hidup Islam seperti contohnya pemakaian tudung,pakaian menutup aurat dan seumpamanya.Tindakan-tindakan kerajaan juga yang jelas bertentangan dengan Islam cukup mendapat banyak kritikan terutama oleh kalangan Kumpulan Pendesak ( Parti Pembangkang ) khususnya Parti Islam Semalaysia (PAS).

Di Malaysia,belia merupakan ahli gerakan Islam yang paling aktif.Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah tinggi dan mahasiswa,siswazah universiti dan ahli profesional muda iaitu kumpulan sosial yang paling mudah menerima ideologi kebangkitan semula Islam.Maka berlainan dengan anggapan biasa,kebanyakan pejuang Islam bukanlah tidak berpelajaran,kolot dan kera umbang di dalam masyarakat tetapi sebenarnya mereka itu adalah orang yang terpelajar,sedang meningkat dalam masyarakat dan berhemah tinggi.Di Malaysia,mereka inilah yang menjadi tulang belakang kepada kebangkitan semula Islam.

DEFINISI TAJUK

Berdasarkan kepada tajuk yang tertera diatas maka PERANAN bolehlah kita definisikan sebagai fungsi dan tanggungajawab.Manakala MAHASISWA pula merupakan golongan pelajar peringkat tinggi yang menuntut di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Tempatan mahupun Swasta di dalam ataupun di luar negara,dalam pelbagai bidang ilmu.MEKANISME disini lebih merujuk kepada makna cara-cara ataupun jalan atau kini lebih kerap digunakan oleh kalangan pimpinan persatuan pelajar dengan istilah Modus Operandi yakni kaedah atau methodologi untuk mencapai satu-satu tujuan / hasrat.PEMANTAPAN pula bermakna pengukuhan. Manakala AQIDAH ditafsirkan sebagai suatu ikatan keyakinan yang mengikat diri seseorang,pemikirannya,hatinya dengan satu keyakinan yang dengan itu maka kehidupannya menjadi satu kehidupan yang terarah dan terpimpin.Dalam konteks perbincangan kita pada hari ini aqidah yang kita katakan ini ialah merujuk kepada Aqidah Islamiah.

Oleh yang demikian,kita ingin membicarakan tentang fungsi dan tanggungjawab generasi mahasiswa dalam membentuk modus operandi yang akan menatijahkan pengukuhan aqidah Islamiah di kalangan masyarakat Islam di negara kita.

PERANAN MAHASISWA DULU & SEKARANG

Mahasiswa Dulu ( Awal tahun 70-an dan 80-an ) :

1. Berlumba-lumba untuk menerokai bidang ilmu pengetahuan dan untuk meraih
segulung ijazah yang ketika itu merupakan suatu perkara yang terlalu
dibanggakan.
2. Belajar dengan tujuan untuk mendapat peluang pekerjaan yang baik dan
daripada itu dapat mengecapi suatu bentuk kehidupan yang lebih luxury /
mewah.
3. Pembinaan diri lebih tertumpu kepada merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara yang definisinya terlalu dangkal.
4. Fokus perjuangan adalah lebih tertumpu dan ketara dalam bidang sosial yang berbentuk kebajikan masyarakat seperti nasib golongan miskin dan golongan mustadh’afin.
5. Hanya segelintir kecil jumlah pelajar yang terlibat dalam perjuangan sosial ini.

Mahasiswa Sekarang ( Tahun 90-an dan Alaf Baru ) :

1. Mahasiswa berubah menjadi satu kumpulan yang mempunyai kuasa gelombang pengislahan di samping kekal mengutamakan tuntutan ilmu dalam pelbagai bidang pengajian.
2. Mahasiswa menjadi sebahagian daripada Golongan Pendesak ( frasa menurut pengajian ilmu politik ) atau mengikut bahasa biasanya lebih dikenali sebagai Golongan Pembangkang kepada kerajaan.
3. Mahasiswa menjadi Agen Pemantau yang berpendirian neutral tetapi memperjuangkan aqidah yang benar ( Aqidah Islamiah ).
4. Mahasiswa menjadi sebagai salah satu agen yang membangkitkan kesedaran masyarakat / rakyat keseluruhannya terhadap segala bentuk penzaliman dan penyelewangan yang berlaku dalam ruang legar tangan-tangan rakus seperti pemerintah ( BN era Mahathir ).
5. Melibatkan jumlah yang sebegitu besar ..hampir kesemua mahasiswa muslim yang prihatin.

MAHASISWA & MASYARAKAT ( UMMAH ) : KAITAN & KEPENTINGANNYA.

Kaitan & kepentingannya……….

1. Mahasiswa adalah aset masyarakat yang mempunyai kaitan timbal balik dan saling perlu memerlukan antara satu sama lain.
2. Kedua-duanya merupakan entiti dalam mebentuk sesebuah negara yang berdaulat.


KEPENTINGAN PENGLIBATAN MAHASISWA DALAM MENENTUKAN SURVIVAL AQIDAH UMMAH.

Penting kerana ….

1. Mahasiswa adalah golongan terpelajar yang mendapat tempat di hati dan di mata rakyat,menyebabkan apa jua tindakan mereka dianggap sebagai suatu tindakan rasional dan bijak.
2. Mahasiswa adalah golongan muda yang bertindak sbagai pelapis kepda pucuk kepimpinan negara pada masa akan datang.oleh yang demikian,mereka turut menyumbang kepada kelangsungan atau survival aqidah ummah.
3. Mahasiswa sebagai golongan yang celik ilmu dan bijak dalam menentukan apa jua keputusan berlandaskan kepada kebenaran.
4. Mahasiswa sebagai satu golongan yang masih bersih dan tidak tercemar daripada sebarang pengaruh budaya hidup yang negatif serta masih mudah untuk ‘dilentur’.
5. Mahasiswa sebagai golongan yang mempunyai daya juang yang tinggi dan daya ketahan mental dan fizikal yang mantap.


BENTUK SUMBANGAN BYANG DAPAT DIBERIKAN OLEH GOLONGAN MAHASISWA YANG TERPELAJAR BAGI MENJAMIN KESELAMATAN AQIDAH UMMAH.

1. Mahasiswa mampu menyumbang daripada sudut penyebaran ilmu,memberi kefahaman dan tunjuk ajar ( praktikal ) dengan kaedah yang lebih sistematik dan mudah difahami berdasarkan kepada penggunaan methodologi yang lebih sofistikated dan kaedah persembahan yang lebih menarik.
2. Mahasiswa boleh menyumbang daripada sudut penglibatan mereka dalam menentukan halatuju dan dasar bagi sesebuah kerajaan yang memerintah melalui tindakan sebagai Agen Pemantau dan sebagai sebahagian daripada Golongan Pendesak.
3. Mahasiswa boleh menjadi agen ummah ( agen masyarakat ) dalam mnegenalpasti dan mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan / gejala murtad yang semakin kronik melanda ummat Islam.
4. Mahasiswa juga boleh menyumbang melalui sikap keperihatinan mereka dalam apa jua permasalahan lain yang melanda masyarakat yang samada secara langsung atau tidak langsung berkait dengan aqidah.Disamping menjadi ‘Intelligent Group’yang membongkar rahsia dan memperolehi serta menyusun fakta-fakta penyelewengan parti pemerintah atau mana-mana individu atau pertubuhan yang dirasakan berkepentingan umum.
5. Mahasiswa menjadi model kepada golongan muda yang lain untuk menzahirkan personaliti individu muslim yang sebenar.


MAHASISWA SEBAGAI ASET PENTING NEGARA & PENENTU HALATUJU MASA DEPAN UMMAH.

Mahasiswa yang merupakan golongan muda amat sesuai dianggap sebagai sebahagian daripada aset penting negara.Ini kerana mereka inilah yang akan meneruskan kesinambungan sesebuah pemerintahan bagi sesebuah negara.Mahasiswa yang beriman dan bertakwa akan mampu membawa negara Malaysia menjadi sebuah negara yang dipenuhi barakah dan redha Allah.Merekalah yang akan menentukan masa depan ummah samada menjadi satu ummah yang bertakwa dan meneruskan hidup berlandaskan hudud-hudud yang telah ditetapkannya atau sebaliknya.Sesungguhnya setiap yang bernyawa akan mati maka itulah janji Allah kepada kita ummat manusia.Oleh yang demikan menjadi suatu kemestian bagi yang masih ada untuk meneruskan perjuangan yang telah ditinggalkan.

Inilah yang dimaksudkan oleh As-Syahid Syed Qutb ketika menyatakan bahawa kita akan merasa sempit seandainya kita mengatakan bahawa perjuangan ini kitalah yang memulakan dan mengakhirkannya.Tetapi kita tidak akan merasa sempit apabila kita yakin dan percaya bahawa kita adalah penerus kepada satu-satu perjuangan.Ummah mahasiswa merupakan golongan yang akan tinggal dan ditinggalkan.Maka,oleh itu merekalah aset penting negara yang akan meneruskan pemerintahan dan pentadbiran negara dalam menjaga kepentingan ummah.Peranan ini tidak akan mampu mereka mainkan seandainya mereka tidak peka terhadap permasalahan negara dan rakyat seluruhnya.Keperihatinan wajar dimulakan daripada sekarang bagi mempastikan mereka benar-benar ‘compitent’ ( layak ) untuk mengambil alih tampuk pemerintahan yang ada samada mahu atau tidak.Itulah tanggungjawab kita sebagai ummat Islam yang merupakan khalifah Allah di atas muka bumi ini.

PERLUNYA MAHASISWA SENSITIF TERHADAP KRISIS AQIDAH YANG BERLAKU DI MALAYSIA TEUATAMANYA DI KALANGAN MAHASISWA SENDIRI & GOLONGAN UMUR PERTENGAHAN.

Sejak akhir-akhir ini,kita mendapati betapa Krisis Aqidah yang berlaku di negara kita semakin menjadi-jadi.Permasalahan gejala murtad menjadi semakin kronik dan tiada tindakan yang sewajarya daripada pihak pemerintah.Rang Undang-undang berkenaan soal murtad yang diperjuangkan oleh PAS ( melalui Tok Guru Abdul Hadi Awang ) dipandang sepi oleh pihak pemerintah di dalam Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.Sedangkan pada masa yang sama,terdapat sebegitu banyak fakta murtad yang begitu menggerunkan kita ummat Islam.Seperti contoh :

1. Mufti WP iaiati Datuk Hasyim Yahya mendedahkan bahawa seramai 3000 orang telah memohon untuk keluar daripada Islam di Kuala Lumpur.
2. Merujuk kepada bancian tahun 1980,daripada 6.1 juta orang Melayu di Semenanjung Malaysia…. Seramai…

• 4,766 orang Melayu menganut Kristian.
• 522 orang Melayu menganut Hindu.
• 746 orang Melayu menganut Buddha dan
• 456 orang yang masuk Islam kembali menganut agama Confucianisme dan Taoisme.

3. Contoh kes….

• Kes Suzie Teoh dan Jassica Zurich ( 1998 )
• Kes Norbaizura Abdullah ( 1990 )
• Kes Hartina Kamaruddin dan Nor Aisyah Bokhari ( 1997 )

4. Contoh Cakap-cakap Pemimpin UMNO-BN yang mengundang kemurtadan…

• “Negara akan huru-hara jika undang-undang Islam dilaksanakan”. ( Najib Tun Razak ).
• “PAS tidak akan melaksanakan hukum hudud kerana ia jelas bertentangan dengan Perlembagaan Lord Reid”. ( Syed Hamid Albar ).
• “Hukum rejam kepada penzina adalah primitif”. ( Mahathir Mohamad).etc

5. Mubaligh Kristian mengembangkan pengaruhnya di sekolah-sekolah dan IPTT & IPTS…..

• Beberapa buah sekolah telah dikenalpasti menjadi sasaran contohnya di SMK Alma Jaya dan SMK Guar Perahu di Bukit Mertajam dan SMK Penanti di Permatang Pauh,Seberang Perai Pulau Pinang.Ramai pelajar telah menjadi mangsa murtad.Ada yang tidak lagi pulang ke rumah kerana sedang mengikuti pengajian untuk menjadi paderi.
• Semua IPTT & IPTS telah menjadi sasaran dan disetiap tempat tersebut telah ada yang berjaya di murtadkan.

6. Golongan pertengahan umur..diberikan ganjaran / habuan … ( contoh kes ialah di Pusat Permurtadan bertempat di Bangunan The SUMMIT – aras 2,kawasan Bukit Mertajam SP,Pulau Pinang ).

• RM 50 untuk ambil dan tandatangan borang ( pemurtadan ).
• RM 500 untuk buat tattoo salib di badan.
• RM 1000 untuk pakai rantai salib.

7. Beberapa tindakan kerajaan Malaysia yang menimbulkan keraguan…

• 1997.. Malaysia di bawah Mahathir menjemput Pasukan Kriket Israel menyertai Kejohanan Kriket di Kuala Lumpur.Beberapa pemimpin Islam ditangkap ekoran demonstrasi membantah kemasukan tersebut.
• Kementerian Pendidikan Malaysia menghantar surat pekeliling kepada setiap IPT supaya menggalakkan siswa/wi tempatan berhubung dan berkenalan dengan siswa/wi Israel melalui internet.
• Mahathir mengucapkan tahniah kepada Ehud Barak apabila berjaya menjadi PM yang baru bagi entiti haram Israel;etc.


KESIMPULAN / RUMUSAN

Daripada apa yang telah dinyatakan itu tadi maka jelaslah kepada kita akan peranan dan kepentingan ummah mahasiswa dalam membentuk mekanisme pemantapan aqidah ummah.Seluruh saf kepimpinan PAS di semua peringkat sedar akan hakikat ini.Oleh yang demikian adalah menjadi harapan kami agar golongan ini dapat memainkan peranan dan fungsi tersbut.Kemenangan Gerakan Islam di Malaysia dalam pilihanraya Umum ke-10 baru-baru ini turut banyak dibantu oleh golongan ini.Sehinggakan salah seorang daripada kepimpinan UMNO-BN iaiatu Rafidah Abdul Aziz tanpa rasa malu dan bersalah menyatakan bahawa kemenangan Barisan Alternatif ( BA ) adalah kerana Golongan Mahasiswa menyokong dan membantu kita.Itulah hakikat kekuatan ledakan dan gelombang mahasiswa.kita yakin dan percaya,Insya-Allah bahawa golongan ini merupakan aset yang begitu penting dan cukup berharga kepada perjuangan Islam khususnya dan negara amnya…

SISWI : ANTARA PENGLIBATAN BERORGANISASI DAN CABARANNYA

Wanita dewasa ini, merupakan elemen terpenting dalam pola masyarakat dunia. Di dalam masyarakat mereka merupakan kelompok yang dominan. Keupayaan dan fitrah semulajadi mereka sekiranya dimanfaatkan semaksima mungkin mampu menggegarkan dunia moden.

Oleh itu, peranan dan tanggungjawab siswi (generasi intelektual) sebagai agen perubah masyarakat dalam sesebuah organisasi adalah sama pentingnya sebagaimana yang dilaksanakan oleh golongan cendiakawan Islam. Firman Allah s.w.t :
المؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض يأمرون بالمغروف وينهون عن المنكر
Maksudnya : “ Dan orang-orang lelaki yang mukmin dan orang-orang perempuan yang
mukminah menjadi penolong antara satu sama lain, mereka menyeru kepada perkara-perkara kebaikan dan menegah perkara-pekara kemungkaran “.

Sabda Rasulullah s.a.w :
النساء شقائق الرجال
Bermaksud : “ Wanita adalah sebahagian dari lelaki “.

2.0

Siswi diertikan sebagai golongan wanita terpelajar dan mempunyai pengetahuan yang luas. Manakala organisasi pula boleh diertikan sebagai sesuatu pergerakan yang mempunyai struktur pentadbiran yang kemas, menyusun dan merancang program dengan sistematik untuk mencapai matlamat yang dicita-citakan.

2.1 Apa sebab berorganisasi

Walaupun pergerakan Islam pada zaman moden ini hanya memberikan penumpuan dan perhatian yang serius kepada tarbiah fikriah, tarbiah rohaniah dan pengarahan. Namun terlalu sedikit mereka memberikan perhatian kepada perorganisasian sungguhpun ianya merupakan tulang belakang kepada pergerakan itu sendiri.

Kesatuan mereka yang utuh sekarang ini hanya disebabkan oleh satu ikatan yang tunggal iaitu ikatan akidah dan ikatan ukhuwwah Islamiah. Jika ikatan ini terungkai maka pergerakan akan terdedah kepada pelbagai krisis, pertentangan dan kucar-kacir.

Melalui organisasi akan mengumpulkan satu tenaga padu dan jitu untuk mencapai matlamat sesuatu pergerakan dan kekuatan yang kental ini akan menjadi benteng berhadapan dengan cabaran dan tindakan musuh.

Lantaran Islam amat menggalakkan seseorang individu menggabungkan diri mereka dengan mana-mana pergerakan yang bermatlamatkan Islam. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t :
وكأين من نبى قاتل معه ربين كثير فما وهنوا لما أصابهم في سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يجب الصابرين
Maksudnya : “ Dan berapa ramai nabi-nabi yang berperang dan bersamanya pengikut-pengikut agama Tuhan, tetapi mereka tidak merasa hina lantaran bahaya perang di jalan Allah dan mereka tidak lemah dan tidak mundur dan Allah kasih akan orang-orang yang bersabar “.

2.2 Peranan organisasi
Antara faktor penting kejayaan sesuatu pergerakan adalah bergantung kepada susunan organisasi. Pergerakan akan mencapai kejayaan cemerlang lantaran perencanaan yang bijak dan perorganisasian yang teliti.

Islam merupakan agama yang mengajar umatnya hidup bernizom dan menolak cara terburu-buru serta tidak berperaturan. Sabda Rasulullah s.a.w :
التأنى من الله والعجلة من الشيطان
Maksudnya : “ Bertenang itu datang dari Allah s.w.t dan terburu-buru itu datang dari syaitan “.

Kata-kata ulama’ :
الحق بلا نظام يغلبه الباطل بنظام
Maksudnya : “ Kebenaran tanpa penyusunan akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun rapi “.

Sesungguhnya melalui organisasi terdapat 4 unsur penting dalam sesuatu pergerakan :

2.2.1 Dasar perjuangan

Sesebuah pergerakan yang bermatlamatkan Islam, dasar perjuangan mereka adalah Islam.Perencanaan dan perjuangan yang mereka lakukan adalah untuk mentauhidkan Allah. Menyeru manusia ke arah beriman kepada-Nya dan menolak sebarang unsur kesyirikan.

Matlamat akhir perjuangan mereka agar kaliamah Allah benar-benar tinggi sehingga terasa kewajipan untuk menegakkan segala bidang politik, ekonomi, sosial dan lain-lain berdasarkan Islam.
الاسلام يعلو ولا يعلى عليه
Maksudnya : “ Islam itu tinggi dan tiada peraturan yang mengatasi ketinggian Islam “.

اقامة الدين والسياسة الدنيا به
Maksudnya : “ Dirikanlah Islam dan tadbirlah dunia dengan Islam “.

2.2.2 Tenaga

Pengurusan organisasi yang baik akan dapat membentuk hubungan dua hala yang erat antara barisan pimpinan dengan anggota bawahan. Keadaan ini akan melahirkan perasaan tanggungjawab bersama di dalam sesebuah pergerakan.

Di samping itu, pengagihan tugas yang tepat dan saksama mengikut kemampuan anggota adalah begitu penting untuk mencapai kesempurnaan matlamat sesebuah pergerakan. Kaedah menyatakan :
اسناد دور المناسب في مكان المناسب
Maksudnya : “ Meletakkan individu yang berkemampuan mengikut tempat yang sesuai “.

2.2.3 Penyusunan struktur pentadbiran

Melalui organisasi yang kemas akan melahirkan penyusunan struktur pentadbiran yang rapi. Penyusunan ini akan mewujudkan bidang kuasa pentadbir dan tenaga kerja semua peringkat.

Pengaliran maklumat akan berjalan dengan lancar apabila semua jentera pentadbir berfungsi mengikut bidang kuasa yang diserahkan kepadanya. Oleh itu, pemilihan anggota yang terlibat di dalam jentera pentadbiran ini dipilih di kalangan mereka yang bersifat qudwah dan amanah. Ingatlah amaran Rasulullah s.a.w :
اذا وسد الأمر غير أهله فانتظر الساعة
Maksudnya : “ Apabila menyerahkan sesuatu urusan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kebinasaan “.

2.2.4 Taktik dan strategi

Untuk mencapai matlamat dan cita-cita perjuangan, ia memerlukan bukan sahaja pengorbanan tetapi cara-cara yang sesuai dan berkesan. Antara cara-cara bertindak yang perlu dilakukan adalah berikut :


a) Cara-cara itu hendaklah halal mengikut pandangan Islam. Islam tidak setuju kebenaran dicapai melalui cara kebatilan. Kata-kata ulama’ yang hendak menolak kaedah sekularisme :
الغاية لا تبرر الوسيلة
Maksudnya : “ Matlamat tidak menghalalkan cara “.

b) Cara-cara tersebut hendaklah sesuai dengan tenaga kerja sesebuah pergerakan dan keadaan masyarakat. Ini disebabkan ada cara yang tidak mampu dilaksanakan oleh pergerakan dan hanya sesuai mengikut geografi sesuatu tempat.

c) Cara tersebut hendaklah flexible, boleh dikembangkan dan diubahsuai apabila keadaan dan persekitaran berubah. Wasilah yang digunakan tidak tetap atau statis mengikut selama-lamanya.

d) Hendaklah cara tersebut bersifat realistik mengikut keadaan dan meletakkan halangan serta cabaran dalam perhitungan.

e) Taktik pergerakan mestilah disokong oleh nas atau pengalaman supaya wujud kemantapan pergerakan tersebut.

3.0 SISWI DALAM ORGANISASI

Sesungguhnya kedatangan Islam telah mengangkat semula darjat ketinggian dan kemuliaan kaum wanita. Jika dibandingkan pada zaman jahilyyah, mereka menganggap kaum wanita sebagai barang dagangan dan tiada nilai.

Pada zaman kegemilangan Islam pula, wanita telah dapat melakukan peranannya yang sangat besar dalam pembangunan, kemajuan masyarakat dan agama Islam. Mereka juga mempelopori karya yang besar samada dalam bidang sosial, ekonomi mahupun politik.

Apa yang diharapkan, sejarah kegemilangan kaum wanita silam akan dicernakan kembali oleh golongan siswi sebagai ahli akademik yang mempunyai pengetahuan am yang luas, melibatkan diri dalam kerja-kerja organisasi.

Sewajarnya golongan siswi hari ini, mengorak langkah yang lebih ke hadapan sesuai dengan cabaran dunia semasa. Pada masa kaum wanita merupakan masyarakat dominan, peranan dan penglibatan siswi dalam organisasi sebagai pucuk pimpinan atau anggota yang aktif amat diperlukan. Masyarakat amat dahagakan khidmat kepimpinan mereka.

Justeru itu, golongan siswi perlu mendapat pendedahan yang secukupnya di bidang kerja-kerja organisasi di alam kampus dalam usaha melahirkan daya kepimpinan yang matang sebagai agen perubah masyarakat.

3.1 APAKAH PEMIMPIN

Adalah wajar bagi kita mengkaji apakah yang dikatakan kepimpinan sebelum kita membuat penelitian mengenai sifat-sifat kepimpinan.

Kepimpinan adalah sejenis seni hubungan perilaku manusia, pengaruh daya tindakan serta penghalaannya ke arah matlamat tertentu dengan cara yang boleh menjamin kepatuhan, kepercayaan dan penghormatannya.

Selain daripada itu, untuk menyempurnakan watak kepimpinan seseorang individu perlu ada potensi-potensi lain dari segi fikiran, kerohanian, jasmani, keorganisasian, akhlak dan peribadian.

3.2 SIFAT-SIFAT KEPIMPINAN

Diantara sifat-sifat kepimpinan yang perlu ada pada seseorang pemimpin adalah seperti berikut :

3.2.1 Mengenali program pergerakan

Seseorang pemimpin harus mengenali dengan mendalam berkenaan situasi-situasi fikiran dan perorganisasiannya sepertimana ia juga harus tekun melaksanakan aktiviti-aktiviti dan memerhatikan segala kerja serta tindak-tanduknya dengan teliti.

Kejayaan pemimpin akan terjamin apabila ia sebati dengan pergerakan dan mempunyai hubungan dua hala yang erat dengan anggota bawahan untuk mengetahui masalah dan pandangan-pandangan mereka.

3.2.2 Mengenali jiwa

Di antara kewajipan pemimpin ialah mengetahui kelemahan dan kekuatan yang ada pada dirinya sendiri. Justeru itu, haruslah pemimpin mengambil berat masalah berikut :

a) Mengetahui titik kelemahan yang ada padanya lalu berusaha memperkuatkannya.

b) Mencari segi-segi kekuatan yang ada pada dirinya serta berusaha menyuburkan dan memajukannya.

c) Berusaha bersungguh-sungguh untuk memperkayakan pengetahuan umum dan banyak mempelajari berbagai-bagai topik, pendapat dan fikiran di dalam bidang politik, sosial, ekonomi dan lain-lain.


d) Mengkaji peribadi pemimpin-pemimpin Islam dan bukan Islam serta membuat kajian cara kepimpinan mereka dan faktor-faktor kejayaan atau kegagalan mereka.

3.2.3 Teladan yang baik dan perhatian kepada anggota

Telatah pemimpin, kecergasan, budi-pekerti, perkataan dan segala perbuatannya mempunyai pengaruh yang amat berkesan kepada seluruh anggota pergerakannya.

Di samping itu, thiqah anggota kepada pemimpin sejauh mana mereka memberikan perhatian yang serius segala permasalahan yang dihadapi oleh anggota bawahan. Pemimpin yang berjaya adalah mereka yang dapat melakukan hubungan yang baik dengan anggota bawahan, merasa riang dan duka bersama serta berusaha menyelesaikan masalah anggota.

Firman Allah s.w.t :
لقدجاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف الرحيم
Maksudnya : “ Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu dan, sangat menginginkan keimanan bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap oang-orang mukmin “.

3.2.4 Pandangan yang tajam

Kemampuan pemimpin melakukan penyiasatan yang cepat dan tepat dalam semua masalah serta berkemampuan membuat keputusan yang tegas dalam berbagai-bagai situasi dan keadaan akan menimbulkan rasa kepercayaan dan penghargaan para anggota kepada dirinya. Sebaliknya sikap teragak-agak, kabur, resah dan tidak tegas akan menghilangkan kepercayaan anggota terhadap dirinya. Sabda Rasulullah s.a.w :
ان الله يحب البصر الناقذ عند ورود الشبهات و العقل الكامل عند هجوم الشهوات
Bermaksud “ Bahawa Allah suka kepada pandangan yang tajam ketika terdapat
kekeliruan dan Alah suka kepada akal yang matang ketika nafsu menyerang “.



3.2.5 Beristiqamah dan bersabar

Pemimpin perlu beristiqamah dengan ajaran Islam dan tidak terpengaruh dengan habuan dunia. Di samping itu, mereka perlu sabar dalam menghadapi segala tribulasi dan cabaran semasa. Dunia hari ini, memerlukan pemimpin yang kuat tekad dan tidak gentar berhadapan dengan tribulasi.

3.2.6 Sedia berkorban

Sifat suka berkorban dan mementingkan diri orang lain amat diperlukan dalam kepimpinan,. Kesatuan dan kemantapan anggota bertambah utuh apabila sifat ini menjadi budaya pergerakan.

3.2.7 Keupayaan membuat keputusan

Kemahiran ini adalah satu perkara yang penting dalam memimpin sesuatu pergerakan terutama sekali apabila ia melibatkan kerja-kerja yang menghadapi persekitaran yang sentiasa berubah.

Keupayaan pemimpin membina sifat ini bergantung kepada 3 perkara :
a) Kesanggupan mengambil risiko-risiko dan kesempatan yang muncul.
b) Kesanggupan bertanggungjawab terhadap keputusan yang diambil dan
akibatnya.
c) Kesanggupan untuk menerima kemungkinan ketidak-sempurnaan sesuatu keputusan.

3.2.8 Keupayaan merumus dan menyampaikan arah organisasi

Apabila melakukan sesuatu kerja, para anggota sentiasa ingin jelas akan arah dan tujuan kerja mereka. Keupayaan pemimpin merumus sesuatu visi kepada anggota bukan sahaja menjelaskan arah yang dituju oleh organisasi malahan dapat juga menyatukan penumpuan usaha organisasi kepada sesuatu perkara yang lebih khusus.



3.3 PERANAN PEMIMPIN

Di antara peranan penting yang dimainkan oleh pemimpin adalah seperti berikut :

3.3.1 Mahir dan faham mengenai organisasi yang dianggotainya samada dari segi peraturan mahupun dari segi tujuan, matlamat dan kaedah-kaedah kerja ke arah mencapai matlamat organisasi.

3.3.2 Memahami secara mendalam bidang tugas dan bidang kuasa setiap jawatan. Di samping itu, mempunyai konsepsi dan visi yang sahih serta yakin terhadap kejelasan matlamat perjuangan yang ditentukan oleh organisasinya agar setiap program tidak laksanakan secara irtijali.

3.3.3 Berusaha meningkatkan prestasi kerja dari masa ke semasa.

3.3.4 Sedar bahawa semua anggota yang terdapat dalam organisasi merupakan aset (harta) yang paling berharga untuk perjuangan. Oleh yang demikian kerja memproses kelahiran pemimpin yang berkeahlian daripada aset tersebut untuk memimpin ummah dalam satu program penting dalam aktiviti organisasi.

3.3.5 Peka terhadap semua perkara yang menyentuh organisasi dan mengambil tindakan segera. Bijak menilai seseuatu persekitarannya dan suasana serta mengeluarkan keputusan untuk tindakan.

3.3.6 Mengagih dan membuat pembahagian tugas mengikut kemampuan anggota tanpa hanya melihat kebolehan pidato dan memberi taujihat sahaja dengan mengenepikan sudut organisasi.

3.4 PERANAN ANGGOTA

Kejayaan sesuatu pergerakan bukan sahaja bergantung kepada barisan pimpinan malah peranan yang dimainkan oleh anggota juga merupakan salah satu asas kejayaan sesuatu organisasi. Di antara peranan yang penting perlu dimainkan oleh ahli adalah seperti berikut :

3.4.1 Taat setia

Taat setia adalah daripada faktor-faktor penting yang dikehendaki di dalam kerja-kerja organisasi. Sesebuah pergerakan tidak akan mencapai tahap keorganisasian yang sempurna selagi unsur taat setia tidak sampai mercu kekuatan dan kesempurnaannya.

Pada pandangan Islam ketaatan ini berakar umbikan kepada ikatan akidah dan perundangan Islam. Ketaatan kepada kepimpinan juga sebahagian daripada ketaatan kepada Allah.

Firman Allah s.w.t :
يا أيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم
Maknanya : “ Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan
taatlah kamu kepada rasul dan orang-orang yang memerintah di kalangan kamu”.

3.4.2 TANGGUNGJAWAB

Perasaan tanggungjawab di kalangan anggota perlu dipupuk dari masa ke semasa. Cetusan perasaan ini akan melahirkan anggota-anggota yang sedia berkorban dan memikul bebanan pergerakan. Mereka akan merasakan bahawa jatuh-bangun, maju-mundur organisasi adalah tanggungjawab bersama.

Situasi ini juga akan menimbulkan kesedaran anggota bahawa mereka merupakan benteng utama organisasi dalam menghadapi serangan musuh.

3.4.3 MEMBERI PANDANGAN KRITIKAN

Tanggungjawab anggota tidak hanya terbatas untuk melaksanakan arahan barisan pimpinan sahaja. Sebaliknya mereka juga mesti memberi bantuan, sokongan dan pertolongan dalam usaha menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

3.4.4 MEMBELA PEMIMPIN

Anggota pergerakan mestilah bersiap sedia apa sahaja untuk mempertahankan dan membela pemimpin. Mereka juga mesti memberi bantuan, sokongan dan pertolongan dalam usaha menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

4.0 MEMBENTUK ORGANISASI YANG CEMERLANG

Sebagai manifestasi ciri-ciri pergerakan yang ketara yang perlu diberi perhatian untuk membina organisasi cemerlang adalah di atas asas-asas berikut :

a) Memilih qiadah (pimpinan) yang memahami matlamat dan mengetahui wasilah-wasilah serta mampu merancang untuk mencapai matlamat tersebut.

b) Pergerakan berasaskan kepada manhaj keilmuan tarbiah yang sejahtera serta perencanaan yang lengkap. Di samping itu pengurusan kepimpinan yang kemas dan berperaturan serta disiplin yang rapi.

c) Bekerja keras, serius, gigih dan berpotensi dalam menjalankan semua urusan pergerakan. Perlaksanaaanya juga perlu seimbang, tetap dan utuh.

d) Pergerakan mampu menghimpunkan seluruh anggota di mana jua ia berada.

e) Menentukan cara perhubungan anggota dengan pihak pimpinan yang bertanggungjawab. Di samping itu menanamkan thiqah yang mendalam antara barisan pimpinan dan pihak bawahan.

f) Setiap anggota mesti bekerja mengikut kebolehan, kemampuan, kelayakan, keupayaan dan persediaan masing-masing.

g) Iltizam yang sepenuhnya dengan apa yang telah ditetapkan melalui pihak yang bertanggungjawab ke atasnya.

h) Pimpinan yang lebih tinggi hendaklah menjauhkan sikap “ Harap ada percaya tidak “ kepada anggota organisasi pimpinannya. Sikap sedemikian boleh menyebabkan petugas hilang keyakinan dan lain-lain kesan negatif kepada pergerakan.

4.1 Beberapa Kaedah berorganisasi

4.1.1 Pengurusan dan perancangan

Untuk membolehkan proses perancangan berjalan dengan berkesan, terdapat 3 perkara yang dimiliki oleh mereka yang ingin merancang iaitu :

I) Disiplin

Perancangan adalah suatu proses yang memerlukan penganalisasian yang teliti dengan pemikiran yang rasional dan sistematik. Tanpa disiplin dan kesabaran, perancangan yang rapi mungkin tidak dapat dicapai. Sesuatu perancangan yang berjaya memerlukan penumpuan usaha dan susun atur kerja yang baik. Oleh itu, tanpa disiplin segala perancangan yang telah dilakukan hanya menjadi impian di atas ketas.

ii) Masa

Masa yang diberikan kepada proses merancang mempengaruhi kualiti sesuatu perancangan. Kita memerlukan masa yang secukupnya untuk membuat analisis maklumat sebelum membuat sebarang rumusan mengenai matlamat yang ingin dicapai dan tindak-tanduk yang ingin diambil. Perancangan yang menggunakan waktu yang singkat mungkin hanya merupakan rumusan berdasarkan andaian-andaian dan kefahaman yang tidak tepat.

iii) Maklumat

Sesuatu perancangan memerlukan maklumat semasa dan tepat. Analisis maklumat banyak mempengaruhi kualiti perancangan yang dibuat.

Adakalanya kita terpaksa membuat suatu keputusan yang cepat dan singkat. Oleh itu, di dalam kedaan ini keputusan adalah banyak bergantung kepada andaian dan pengalaman-pengalaman yang lalu.

Oleh itu, untuk menyempurnakan tujuan ini beberapa langkah tertentu perlu diambil dalam proses perancangan di antaranya :

(A) Analisis suasana

Aspek-aspek utama yang perlu diberi perhatian di dalam analisis suasana termasuklah :
1. Aspek luaran

a.) Sosial

Aspek ini menyentuh persoalan-persoalan seperti nilai, sikap, individu serta perkumpulan samada formal atau tidak formal yang mempengaruhi masyarakat berkenaan. Kita perlu memahami suasana hubungan di antara ahli-ahli masyarakat. Sebagai contoh satu masyarakat yang menganut berbagai-bagai agama sudah tentu berbeza daripada masyarakat yang terdiri daripada penduduk yang menganut satu agama.

b) Politik

Aspek politik tidak semestinya terhad kepada persoalan parti sahaja yang mewakili sesebuah kawasan tetapi seharusnya lebih tertumpu kepada dinamisme politik masyarakat berkenaan.Kita perlu memahami individu-individu, isu-isu, tumpuan pengaruh dan kuasa serta institusi yang penting dalam masyarakat tersebut serta tahap kesatuan ahlinya.Ini disebabkan sesetengah masyarakat parti politik mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat.

Satu perkara yang mempunyai kaitan dan perlu dikenal pasti ialah ancaman-ancaman yang dihadapi oleh pergerakan. Kita perlu mengenali kawan dan siapakah lawan serta tahap kekuatan mereka.

c) Dakwah

Sikap dan tanggapan masyarakat terhadap Islam dan dakwah berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain. ada masyarakat yang terbuka dan mudah menerima dakwah. Di sana ada juga masyarakat yang merasa payah untuk menerima Islam kerana difikirkan membebankan.

Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah kebebasan berdakwah. di negara yang memberi kebebasan berdakwah kita gunakan kebebasan tersebut untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat semaksima mungkin.

2. Aspek dalaman

a) Keupayaan tenaga kerja

Kita hendaklah mengenal pasti kemahiran, pengalaman serta keupayaan untuk melaksanakan kerja. Tahap iltizam, pengorbanan dan displin merupakan perkara yang sangat mmpengaruhi kualiti anggota.

b) Kekuatan dan kelemahan organisasi

Setiap organisasi mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tertentu. Kita perlu memahami hal ini kerana keupayaan kita untuk bertindak seterusnya bergantung kepada kelemahan dan kekuatan yang ada pada diri kita.

c) Kedudukan kewangan

Sesebuah organisasi perlu mewujudkan sumber kewangan yang boleh membiayai aktiviti-aktivitinya kerana keupayaan organisasi merancang sesuatu aktiviti akan dipengaruhi oleh kedudukan kewangan kerana keupayaan organisasi merancang sesuatu organisasi akan dipengaruhi oleh kedudukan kewangan.

d) Struktur dan budaya organisasi

Struktur dan budaya oranisasi banyak mempengaruhi keupayaan organisasi menjalankan sesuatu perancangan. Struktur adalah alat yang digunakan untuk menyusun aktiviti dan sumber organisasi. Apa yang penting ialah struktur tersebut hendaklah bersesuaian dengan peranan yang dimainkan oleh organisasi. Demikian juga budaya organisasi hendaklah menggambarkan peranan yang dimainkan oleh organisasi.

Hasil daripada analisis-analisis suasana yang dilakukan kita dapat memahami dan mengenal pasti 4 perkara utama :

I) Kelemahan yang ada pada organisasi berkenaan
ii) Kelemahan yang ada pada organisasi berkenaan
iii) Kesempatan yang ada di sekeliling
iv) Ancaman yang dihadapi oleh organisasi.

(B) Penentuan matlamat

Penentuan seterusnya selepas penganalisian suasana ialah penentuan maklumat. Di sini terdapat 2 peringkat matlamat iaitu matlamat setrategik dan matlamat taktikal.

Matlamat strategik ialah : matlamat jangka panjang yang tertumpu kepada persoalan tujuan dan arah organisasi. Manakala matlamat taktikal ialah: matlamat jangka pendek yang perlu dicapai untuk menjayakan matlamat strategik.

Di sini dinyatakan beberapa perkara sebagai panduan dalam menentukan matlamat :

a) Masalah-masalah yang dihadapi

Kita perlu menyenaraikan masalah-masalah yang dihadapi dan memerlukan pemerhatian. Ada di antara masalah-masalah ini yang boleh kita ketepikan dan ada pula yang menjadi penghalang sekiranya kita tidak menyelesaikannya terlebih dahulu.

b) Kekuatan dan kelemahan

Dalam mengenali kekuatan dan kelemahan organisasi kita akan dapat menentukan perkara-perkara yang perlu diperkukuhkan lagi. Matlamat yang mungkin kita tetapkan berkemungkinan dalam bentuk usaha mengatasi kelemahan atau memperkukuhkan lagi.

c) Aktiviti

Organisasi perlu teliti sama ada berusaha untuk memperbanyakkan aktiviti atau meningkatkan keberkesanan aktiviti yang sedang dan akan dilakukan. Oleh itu, organisasi hendaklah membuat penilaian keberkesanan segala kativiti yang telah dilaksanakan untuk mencari jalan meningkatkan keberkesanan aktiviti tersebut.

d) Keberkesanan

Para anggota organisasi hendaklah sentiasa mencari jalan untuk mempertingkatkan keberkesanan daya kerja yang mereka lakukan. Contohnya, usaha cuba mengurangkan masa dan perbelanjaan yang digunakan untuk melaksanakan sesuatu aktiviti.

e) Keahlian

Sesebuah pergerakan hendaklah berusaha mengembangkan pengaruh di dalam masyarakat. Di samping itu, kualiti keahlian juga perlu ditik-beratkan.

f) Pembangunan anggota

Selain menambahkan keahlian, setiap organisasi pergerakan mesti memberikan perhatian yang serius kepada usaha meningkatkan kemamppuan anggota. Usaha ini boleh dilakukan melalui latihan kepimpinan yang dirancang dengan teliti.


4.1.2 Motivasi : Bagaimana mewujudkannya di kalangan anggota

Berikut adalah beberapa perkara yang dapat dimanfaatkan oleh pimpinan untuk mendorong motivasi anggota :

a) Peluang untuk memberikan sumbangan

Kebanyakan anggota pergerakan mempunyai keinginan untuk menyumbangkan tenaga,material dan moral mereka untuk organisasi. Jumlah sumbangan ini berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, organisasi hendaklah membuka ruang yang seluas-luasnya untuk membolehkan setiap anggota memberikan sumbangan.

Sekiranya organisasi menghadkan peluang tersebut, ia bukan sahaja tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi anggota, malah kadang-kala menyebabkan mereka merasa bosan dan meninggalkan organisasi.

b) Penerimaan sosial

Seorang anggota yang aktif biasanya mempunyai keinginan untuk diterima oleh anggota yang lain sebagai rakan seperjuangan. Penerimaan ini penting kerana identiti seseorang lebih banyak dipengaruhi oleh keanggotaannya dalam sesuatu pergerakan. Inilah yang dikatakan penerimaan sosial dalam memperkukuhkan lagi identiti seseorang.

c) Keinginan untuk peningkatan

Antara lain cita-cita anggota pergerakan ialah keinginan untuk meningkatkan diri sama ada dari segi ilmu ataupun amal. Peningkatan ini mempunyai hubung kait yang rapat terhadap sumbangan mereka kepada pergerakan. Peningkatan di sini bukan sahaja terhad kepada pertambahan ilmu sahaja, tetapi termasuklah pengalaman dan kemahiran baru.

d) Keinginan untuk dipercayai

Sekiranya seseorang itu diberikan kepercayaan, beliau akan merasa yakin terhadap kemampuan dirinya. Apabila keyakinan ini wujud, ia akan mendorong semangat yang optimis untuk terus melaksanakan segala tugas yang diserahkan.

e) Kehendak kebajikan

Setiap manusia mempunyai masalah tertentu samada berbentuk peribadi atau yang berkaitan dengan organisasi. Menyelesaikan masalah anggota bukan sahaja meringankan bebanan mereka, malah membolehkannya bekerja dengan lebih berkesan dalam pergerakan.

f) Keinginan untuk dihormati

Penghormatan bukan merujuk kepada keinginan untuk dipuji atau disanjung, tetapi merujuk kepada keinginan seseorang untuk dihormati pandangan, perasaan dan pendapat yang diutarakan. Sebagai contoh, kadang-kala kaum lelaki menganggap kaum wanita selalu emosi. Lantaran itu, setiap pandangan yang diutarakan oleh kaum wanita diketepikan tanpa melihat hujah yang rasional. Implikasinya, semangat untuk mereka bekerja menjadi lemah dan tiada dorongan.

5.0 SUMBANGSIH WANITA-WANITA UTAMA ISLAM

Pemaparan lembaran sejarah silam tentang sumbangsih dan peranan yang dimainkan oleh wanita-wanita utama Islam adalah untuk mendorong motivasi golongan siswi hari ini terhadap tanggungjawab yang perlu mereka lakukan.

Pada dasarnya, kaum wanita ketika itu berada di puncak kegemilangan Islam, mereka mempelopori karya besar, di antaranya :

5.0.1 Wanita ikut berperang

Isteri-isteri nabi s.a.w dan sesetengah isteri para sahabat r.a kerap-kali dibawa bersama di medan peperangan. Peranan mereka adalah mengobarkan semangat jihad kaum lelaki dan merawati tentera Islam yang cedera. Di antara sri kandi Islam yang rela berkorban untuk menegakkan Islam dan terlibat di medan peperangan lelaki ialah :

1) Nusaibah
Beliau seorang wanita muslimah yang ikut berperang mulai zaman rasulullah s.a.w hingga zaman Khalifah Abu Bakar r.a. Akhirnya beliau tergugur syahid di medan peperangan dengan mendapat 12 liang luka di tubuhnya.

2) Ummu Salamah Binti Muaz Bin Jabal

Seorang muslimah yang menyertai peperangan Yarmuk pada zaman Rasulullah s.a.w. Dia berhasil membunuh musuh sampai 9 orang tentera Rumawi yang gagah dengan hanya menggunakan potongan tiang khemah. Di samping tentera wanita yang gagah berani, beliau juga ahli pidato dan ahli hadith.

5.0.2 Wanita dalam politik

Kalau di dalam medan peperangan, wanita Islam menunjukkan keberanian untuk mati syahid, sudah pasti di bidang politik mereka turut memberikan perhatian dan penglibatannya. Dalam hal ini, satu-satunya tokoh wanita Islam ialah Saidatina Aisyah Binti Abu Bakar. Ketika perselisihan dalam cara memilih khalifah kedua beliau mencadangkan agar dilantik panitia memilih khalifah. Cadangan beliau diterima dan akhirnya Saidina Umar r.a dilantik menjadi khalifah Islam kedua.

5.0.3 Wanita tempat rujukan

Wanita Islam pada zaman kegemilangan Islam telah menyumbangkan tenaga dan fikiran mereka untuk kemajuan Islam. mereka mempunyai keahlian di dalam
ilmu agama seperti ilmu Hadith, Feqah dan ýFaraid. Di antara tokoh yang menonjol di kalangan mereka ialah Saidatina Aisyah r.a tempat rujukan perawi hadith.

6.0 CABARAN BERORGANISASI DAN PENYELESAIANNYA

Matlamat mendaulatkan Islam melalui pergerakan merupakan satu tanggungjawab yang amat besar. Usaha-usaha untuk mencapai matlamat tersebut sudah pasti akan menghadapi cabaran dan tribulasi. Di antara cabaran tersebut ialah :

6.0.1 Perancangan musuh

Pergerakan Islam pada hari ini sedang menghadapi cabaran musuh-musuh Islam sama ada dari segi strategi merosakkan fikiran umat Islam ataupun memusnahkan organisasi pergerakan Islam.

Mereka sentiasa menyusun strategi membangunkan pusat-pusat pengajian untuk mendidik dan mengorientasi kader-kader untuk memusuhi Islam. Di samping itu, mereka juga menguasai setiap pertubuhan antarabangsa. Sebagai contoh ; Pergerakan Yahudi Sedunia sekarang ini telah menguasai sebahagian besar media cetak dan media komunikasi dunia seperti Times, Daily Telegraf, Daily Express, Daily Mail, Sunday Times dan beberapa media elektronik.

Untuk menghadapi perancangan musuh ini, setiap pergerakan Islam juga perlu menyusun strategi menyaingi perancangan musuh. Perancangan organisasi tidak memadai hanya membuat pengkhususan tertentu dan meninggalkan sebahagian yang lain. Pergerakan juga seharusnya berusaha menubuhkan pusat-pusat pengajian Islam untuk melatih dan mendidik kader-kader Islam yang akan mempertahankan Islam. Seterusnya, mereka juga harus menguasai setiap pertubuhan kebajikan, menyediakan media massa dan alat komunikasi yang canggih menyaingi pihak musuh dan mengambil berat percaturan politik antarabangsa.

Perancangan ini akan bertambah mantap apabila setiap pergerakan menerima penglibatan golongan siswi secara aktif melaksanakan perencanaan tersebut. Firman Allah s.w.t :
وقاتلوهم حتى لا تكون فتنة ويكون الدين كله لله
Maksudnya : “ Dan perangilah mereka sehinggalah tiada fitnah lagi dan sehingga agama Allah hanya untuk Allah sahaja.”

Sabda Rasulullah s.a.w :
ان الله يحب من أحدكم اذا عمل العمل أن يتقنه
Maksudnya : “ Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu yang melakukan sesuatu perbuatan dengan tekun “.



6.0.2 Keseimbangan kerja
Kebijaksanaan menyusun masa dan memberikan keutamaan di dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan amat penting. Faktor kegagalan dan ketidak-sempurnaan pergerakan adalah disebabkan anggotanya gagal mewujudkan perseimbangan.

Setiap anggota pergerakan mempunyai 3 mas’uliyyat yang perlu dilaksanakan :

I) Tanggungjawab terhadap diri

Setiap individu perlu memperlengkapkan diri dengan akal fikiran yang sejahtera, jasmani sihat dan rohani yang mengabdikan diri kepada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w :
ان لنفسك عليك حقا وان لزوجك عليك حقا وان لربك عليك حقا فاعل كل ذى حق حقه
Bermaksudnya : “ Sesungguhnya untuk diri kamu ada hak, sesungguhnya pada isteri kamu ada hak, sesungguhnya kepada Tuhan kamu ada hak dan tunaikanlah setiap yang mempunyai hak akan haknya “.

ii) Tanggungjawab terhadap keluarga

Pembinaan keluarga yang muslimah akan mempengaruhi pembentukan masyarakat yang muslim. Firman Allah s.w.t :
يا أيها الذين آمنوا قوا أنفسكم وأهلكم نارا
Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkanlah diri kamu dan kaum keluarga kamu dari api neraka “.

iii) Tanggungjawab terhadap pergerakan
Setiap anggota pergerakan tidak terlepas daripadanya tanggungjawab untuk melaksanakan amanah pergerakan. Amanah ini, adalah untuk mencapai matlamat perjuangan organisasi “.
Untuk mengatasi permasalahan ini, pembahagian tugas mengikut kelayakan dan kemampuan anggota adalah penting. Di samping itu, perencanaan yang teliti mengikut kualiti anggota perlu dikaji untuk menjayakan ketiga-tiga mas’uliyyat di atas.
Justeru itu, untuk menjayakan matlamat pergerakan ia tidak boleh merancang di dalam sudut tertentu dan meninggalkan sebahagian yang lain.
6.0.3 Tindakan disiplin
Antara faktor lain cabaran kepada mereka yang melibatkan diri secara aktif di dalam sesuatu pergerakan adalah tindakan disiplin dan tata tertib daripada majikan. Kadangkala prestasi anggota menurun disebabkan tindakan ini. Suasana ini diakui menjadi sebab utama mengapa ramai di kalangan generasi intelektual yang aktif di alam kampus jumud apabila berada di medan perjuangan.

Untuk membina dan memulihkan semula prestasi anggota tersebut, sesebuah organisasi perlu memperluaskan bidang kebajikan, membantu dan menyelesaikan permasalahan anggota. Keadaan ini adalah untuk menjamin keberkesanan kerja dan meningkatkan keupayaan daya produktiviti para anggota.

6.0.4 Golongan ulama’ jahat

Perjuangan sesebuah organisasi bukan sahaja berhadapan dengan kaum musyrikin, tetapi mereka juga menghadapi tindakan jahat golongan yang digelar Ulama’ Suk (jahat). Mereka hidup hanya untuk mengejar habuan dunia.

Masyarakat yang jahil tentang agama mudah terpengaruh dengan kata-kata pidato mereka. Kadang-kala untuk menghadapi golongan ini lebih payah daripada golongan musyrikin,

gerakan Islam dalam menghadapi suasana ini perlu menyediakan jawapan-jawapan dan penjelasan-penjelasan yang meyakinkan di samping ianya dapat mematahkan segala tuduhan jahat dan serangan dari mereka. Tindakan mereka bukan sahaja mencemarkan nama baik pejuang-pejuang Islam, tetapi menjatuhkan imej agama Islam. Untuk tujuan ini juga, sesebuah gerakan perlu menubuhkan satu unit untuk bekerja menghadapi tindakan golongan ini.

6.0.5 Merendahkan keupayaan golongan siswi

Kelicinan sesuatu perancangan yang disusun oleh sesebuah pergerakan akan tersekat apabila ada di antara barisan kepimpinan memandang rendah kemampuan golongan siswi. Mereka beranggapan golongan siswi selalunya emosional. Pandangan dan pendapat mereka ditolak tanpa memandang kerasionalannya terlebih dahulu.

Adakalanya golongan ini berpegang dengan hadith Rasulllah s.a.w tanpa melihat kemaslahatan ummah masa kini. Sabda Rasululullah s.a.w :
لن يفلح القوم اسندوا أمرهم الى امرأة
Maksudnya : “ Tidak akan mencapai kemenangan selama-lamanya kaum yang menyandarkan urusan pemerintah kepada kaum wanita “

Sesebuah pergerakan apabila menghadapi masalah ini sewajarnya dapat memperbaikinya secepat mungkin sebelum parah. Untuk menggalakkan motivasi bekerja gigih di kalangan anggota seharusnya pergerakan membuka ruang seluas-luasnya kepada anggota untuk memberikan sumbangan dan khidmat bakti.

Seharusnya barisan pimpinan jangan menyalah-tafsirkan hadith Rasulullah s.a.w. Ini berdasarkan kepada hujah-hujah berikut :

a) Ia bercanggah dengan Kudrat dan Iradat Ilahi dari segi penganugerahan kualiti, bakat dan keupayaan kepimpinan kepada hamba-Nya. Kita tidak boleh mengatakan Allah s.w.t hanya mengkhaskan anugerah kepimpinan kepada kaum lelaki sahaja. Firman Allah s.w.t :
نحن قسمنا بينهم معيشتهم في الحياة الدنيا ورفعنا بعضهم فوق بعض درجات ليتخذ بعضهم بعضا
سخريا
Maknanya : “ Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain “.

b) Ia bercanggah dengan keutamaan yang diberikan oleh Islam kepada peri pentingnya keahlian, kelayakan dan keupayaan. sebagai syarat utama menjayakan sesuatu kepimpinan. Sabda Rasulullah s.a.w :
اذا وسد الأمر الى غير أهله فانتظر الساعة
Maksudnya : “ Apabila sesuatu pekerjaan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kebinasaannya ”.

Sesungguhnya anggota pergerakan tidak mampu mempertingkatkan keupayaan di dalam kerja-kerja organisasi sekiranya masih ada dalam diri mereka perasaan imperiority complex (rendah diri) dan merasakan tanggungjawab berorganisasi merupakan satu bebanan. Kadangkala ada di antara mereka menggunakan alasan di alam kampus bukan masanya. untuk terlibat dengan kerja-kerja organisasi kerana ianya boleh mengganggu penumpuan kepada pelajaran..

Untuk menghadapi permasalahan, sesebuah pergerakan perlu mewujudkan hubungan komunikasi kemasyarakatan yang baik. Di dalam jalinan hubungan masyarakat, pergerakan perlu mendedahkan kepentingan dan peranan organisasi. Diharapkan pendedahan ini memberikan kefahaman kepada masyarakat dan mereka mempunyai kecenderungan untuk menyumbangkan tenaga, material dan fikiran demi kemajuan sesebuah pergerakan.

Kertas kerja yang ada ini adalah sebagai pendedahan awal tentang pentingnya penglibatan golongan siswi di dalam kerja-kerja organisasi. Pengalaman berorganisasi di alam kampus amat memberikan manfaat yang cukup berguna apabila berhadapan dengan masyarakat di medan perjuangan yang sebenar dan tribulasi yang mencabar..

KE ARAH KECEMERLANGAN KEPIMPINAN MAHASISWA ISLAM

Motto
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) ALlah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut ALlah".
(Surah Al-Ahzab: ayat 21)

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا(103)الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا(104)أُولَئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا(105)
"Katakanlah: apakah kamu pernahll Kami jelaskan kepada kamu tentang orang-orang yang pekerjaan mereka di dunia ini ialah (pekerjaan) yang sia-sia, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah bekerja dengan sebaik-baiknya".
"Mereka itu ialah orang-orang kufur terhadap ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap pertemuan dengan Allah. Sebab itu (nilai) pekerjaan mereka jatuh hapus) dan Kami pun tidak akan memberikan apa-apa pertimbangan nilai terhadap (usaha) mereka pada hari kiamat kelak".
(Surah Al-Kahfi: ayat 103-105)


Kecemerlangan (excellence) merupakan suatu aras pencapaian khidmat, kualiti pengeluaran dan sebagainya yang mencecah piawaian tertentu, samada kepuasan pelanggan, pengikut, orang ramai, rakan sekerja, mahupun majikan. Kecemerlangan selalunya dihubungkaitkan dengan nilai-nilai atau traits keperibadian tertentu, atau malah mutu perlaksanaan kerja tertentu yang terbaik dan memuaskan ALlah atau manusia pada masa yang tertentu. Pendekata ia merangkumi sejumlah ciri-ciri keunggulan yang mampu dimiliki oleh seseorang, kumpulan atau organisasi. Semua orang ingin memiliki sesuatu yang dapat dibanggakan. Mereka ingin menjadi unggul dalam serba-serbi. Manusia memang makhluk yang ingin mencapai self-actualisation membuktikan kewujudan diri). Ia mahu mendapatkan satu macam kepuasan batin dan penerimaan masyarakat terhadap dirinya. Ini dianggap sebagai salah satu keperluan asas manusia mengikut huraian Maslow tentang theory of basic need.

Di antara yang dicita-citakan oleh manusia ialah suatu keperibadian yang terbaik, terpuji, sempurna dan cemerlang bagi dirinya sendiri. Mereka merasakan keperibadian yang baik dapat membekalkan diri mereka dengan persyaratan-persyaratan kejayaan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup. Peribadi menentukan nilai diri. Ia lebih penting daripada keturunan, pangkat, dan harta benda. Manusia disanjung lantaran peribadinya yang mulia dan cemerlang bukannya kerana pangkat atau keturunannya semata-mata.

Kecemerlangan, jika dihubungkaitkan dengan kepirnpinan mahasiswa, ia bermakna wujudnya beberapa ‘figure’ pemimpin dan kualiti kepimpinan organisasi mahasiswa yang mampu mencapai serta memenuhi piawai atau standard yang terbaik dan memuaskan para pengikut atau malah umat yang menyaksikan agenda bertindak dan operasi organisasi yang berkenaan.

Ada beberapa faktor yang menentukan kecemerlangan kepimpinan mahasiswa. Fakto-faktor tersebut antara lain ialah:


1. Dasar perjuangan yang diredhai Allah

Dasar perjuangan mahasiswa mestilah berlandaskan nilai-nilai Islam Mahasiswa sebagai kumpulan manusia berilmu dan sentiasa mencari ilmu perlu mendampingkan keilmuan mereka dengan irnan, Islarn dan ihsan. Mereka perlu konsisten memperjuangkan Islam serta mendukung kepimpinan Islam yang menyanjung kepimpinan para pewaris nabi atau para alim ulama'.

Allah berfirman
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah lwn mengkhianati ALlah, Rasul dan apa yang telah diamanahkan kepada kamu; padahal kamu mengetahuinya"
(Surah al-Anfal: ayat 27)

2. Strategi operasi serta gerak kerja yang berkesan.

Perlaksanaan gerak kerja berharakah memerlukan strategi bertindak yang rapi dan teratur Tanpa strategi yang sesuai dengan fiqh al-Muwazanat serta fiqh al-Awlawiyat maka organisasi mahasiswa sukar meraih kecemerlangan seperti yang diidamkan.

Fiqh al-Muwazanat bermakna keupayaan untuk menilai mana yang lebih penting diutamakan antara sekian banyak (Masaleh) maslahah (kepentingan), dari sudut kadarnya, pengaruhnya, skop liputannya serta jangka hayatnya

Ia juga bermakna keupayaan untuk menilai mana yang lebih buruk padahnya dari sekian banyak keburukan yang ada, mana yang paling mustahak dihindari terlebih dahulu dan mana pula yang boleh dibiarkan seketika. Ia juga bermakna keupayaan membuat tarjihat antara maslahah dan mafsadah apabila kedua-duanya tampil serentak dalam sesuatu isu atau persoalan. Sehinggalah dapat dibuat kesimpulan yang tepat samada diutamakan menghindari mafsadah dari meraih maslahah atau sebaliknya diutamakan meraih maslahah dengan menanggong sedikit kesan dari mafsadah yang berkaitan.

Fiqh al-Aulawiyat bermakna meletakkan sesuatu pada kadar martabatnya. Apa yang patut didahulukan tidak ditangguhkan. Manakala yang patut ditangguhkan tidak didahulukan. Yang besar tidak dianggap kecil, begitu juga sebaliknya.

Amal salih menurut al-Qur'an mempunyai martabat masing-masing. Nilainya tidak semestinya sama. Golongan pemimpin mestilah peka terhadap hal ini.
ALlah berfirman:
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ(19)الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْفَائِزُونَ(20)
"Adakah kalian menyamatarakan (nilai kebaikan) antara orang yang memberi minum orang-orang haji serta memakrnurkan Masjid al-Haram dengan orang-orang yang beriman dengan ALlah, hari akhirat dan mereka berjihad di jaian ALlah. (Sesungguhnya) tidak sama (nilai antara keduanya) di sisi ALlah. ALlah tidak memberi petunjuk terhadap kaurn yang zalirn. Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan ALlah dengan harta dan nyawa mereka di sisi ALlah lebih tinggi darjat mereka dari orang lain. Mereka itulah orang-orang yang berjaya"
(Surah at-Taubah: ayat 19 - 20)

3. Struktur organisasi serta memiliki perlembagaan yang baik

Kejayaan sesuatu organisasi,banyak bergantung kepada strukturnya yang baik. Perkara seperti ini diatur oleh perlembagaannya yang komprehensif di mana agihan kuasa antara lembaga-lembaga yang ada diwujudkan secara yang terbaik. Tidak terjadi perkara-perkara yang menghalang kerja-kerja organisasi.

Perlembagaannya tidak memungkinkan penyelewengan secara berleluasa Mekanisme untuk memperbaiki kelemahan organisasi sentiasa terbuka.

4. Figure kepimpinan yang cekap serta berketrampilan

Kepimpinan yang terlatih dan berpengalaman dalam menghadapi politik kampus sudah pasti akan lebih berjaya dari kepimpinan yang mentah dan kurang berpengalaman. Lebih jauh kepimpinan yang mempunyai bebagai kemahiran sudah pasti akan menempa kejayaan yang lebih cemerlang.
Selain daripada beberapa sifat di atas, kepimpinan mahasiswa hendaklah mempunyai ketrampilannya menggarapi aspek-aspek berikut:

a) wawasan politik yang jelas

Kepimpinan di kampus adalah anak tangga untuk kepimpinan di peringkat yang lebih tinggi. Wawasan politik yang benar seharusnya telah ditemui dan diyakini dari peringkat kampus lagi sehingga ianya semakin kukuh dan bercambah di peringkat nasional dan antarabangsa. Sekiranya perkara ini masih kabur dan tidak mantap di peringkat mahasiswa lagi maka kelewatan menemui wawasan politik Islam yang sebenar merupakan titik kelemahan yang ketara

b) ketrampilan berkomunikasi, mampu menguasai pelbagai bahasa

Kelompok mahasiswa yang dipimpin kini bukan hanya suatu bangsa. Oleh kerana itu para pimpinan organisasi mahasiswa masa kini perlu menguasai bahasa lingua franca; samada Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Arab, selain daripada bahasa ibundanya. Mereka perlu cemerlang dalam penguasaan mereka terhadap bahasa-bahasa ini. Dengan penguasaan yang cemerlang mereka berupaya menyampaikan mesej secara lebih berkesan dan convincing.

c) ketrampilan moniver

Pimpinan organisasi mahasiswa perlu memiliki kemahiran merentasi halangan cita-cita organisasi. Mereka mustahak menguasai seni mengemudikan konflik untuk mencapai tahap perlaksanaan yang lebih tinggi dan maju. Mereka perlu berupaya meraih kemenangan melalui laluan sukar dan halangan yang getir.

d) memiliki keperibadian Islam yang baik

Pimpinan mahasiswa Islam yang baik ialah yang mempunyai ciri-ciri ketaqwaan seperti yang diperincikan oleh Al-Qur'an.

5. Aktivis yang gigih, kreatif serta inovatif

Pemimpin mahasiswa tidak lahir dari kekosongan. Ia lahir dari kalangan massa mahasiswa sendiri. Ia (pemimpin) mencerminkan nilai atau kualiti keunggulan mahasiswa itu sendiri. Pemimpin yang cemerlang lahir dari lautan siswa yang cemerlang, gigih, kreatif dan inovatif. Kejayaan pemimpin bukan mutlak daripada pemimpin tetapi juga kerana adanya kerjasama, sokongan dan sikap kesetiaan terhadap jamaah dan sikap ingin melihat jamaah berjaya.

Hubungan timbal balik yang positif antara pemimpin yang baik dengan para pengikut yang gigih sudah pasti menghasilkan peningkatan dalam mutu kerja aras pencapaian organisasi.

6. Kelengkapan teknologi yang berkesan

Untuk membayangkan organisasi mahasiswa lengkap dan penuh sarat dengan peralatan teknologi canggih seperti yang dimiliki oleh sektor korporat atau awam yang advance sudah pasti suatu igauan yang indah. Apa yang dimaksudkan ialah, organisasi mahasiswa mempunyai peralatan teknologi yang minima untuk membantunya beroperasi secara berkesan. Sekurang-kurangnya alat komputer, mesin cetak, faks, telefon dan lain-lain yang setaraf dengan tuntutan zaman kini. Kekurangan yang terlalu menjolok dalam hal ini menjauhkan organisasi berkenaan dari tahap cemerlang.

7. Program perkaderan (leadership program) yang berkesan

Suatu mekanisme yang penting dalam memastikan kesinambungan wawasan kepimpinan pelajar dan mahasiswa Islam ialah wujudnya sistem perkaderan yang baik untuk menampilkan pemimpin pelapis yang berwibawa. Pemimpin yang berfikiran kreatif, setia dengan prinsip dan dasar organisasi.

Organisasi mahasiswa yang cemerlang adalah organisasi yang mampu menyediakan golongan pelapis yang competent untuk menggarap cabaran zamannya dan zaman-zaman yang akan datang. Mereka harus berupaya menampilkan golongan pernimpin yang lebih bijak, lebih berketrampilan dan canggih daripada yang ada sekarang. Lumrahnya cabaran masa depan lebih sengit dan gawat berbanding dengan masa kini.

8. Taufiq dan inayah Allah

Seandainya segala keperluan dan prasyarat untuk maju dan cemerlang telah dimiliki maka suatu faktor yang tidak boleh tidak mesti diperolehi oleh organisasi mahasiswa Islam ialah taufik dan inayah Ilahi. Barakah dan limpah kurnia Allah perlu ditagih dengan amalan amalan ibadah, do'a, zikir dan munajat. Hanya dengan limpahan kurnia Allah, keampunan dan restu-Nya, kecemerlangan duniawi akan mempunyai makna yang lebih diyakini. Sebab itu, organisasi mahasiswa Islam semestinya tidak lekang dengan program Qiamullail, khemah ibadah, halaqah zikir dan lain-lain.

Kesemua nilai-nilai di atas jika diadun dengan baik akan menghasilkan kecemerlangan. Apatah lagi dalam persaingan masyarakat yang serba rencam ini kualiti dan kecemerlangan mahasiswa tidak lagi merupakan satu pilihan, tetapi sudah menjadi syarat mutlak untuk survival atau meneruskan kelangsungan perjuangan. Mahasiswa tidak bergerak dalam ruang yang kosong. Mereka dilengkari oleh persekitaran yang mempengaruhi sikap, minat dan peribadi tiap-tiap individu. Justeru itu budaya gerak-kerja mahasiswa harus didasari oleh nilai akhlak dan etika pergerakan yang baik serta berkesan. Dalam hal ini jika mahasiswa terus-terusan berada di takuk lama, tanpa mahu merebut semua peluang meningkat diri secara agresif, sudah pasti mereka akan terus terpinggir.

Keselarasan Roh dan Pemikiran Dalam Gerakan Kemahasiswaan

Kecenderungan masyarakat dewasa ini kembali kepada ajaran dan nilai-nilai Islam agak ketara. Ini sejajar dengan proses kematangan pemikiran ummat setelah melalui sekian banyak Peristiwa-peristiwa yang mengandungi suka duka hidup. Sudah pasti keinginan dan keghairahan untuk kembali menghayati Islam sedemikian rupa memerlukan skima pemikiran yang mantap, jelas dan kaya dengan inspirasi, modal dan gagasan baru dalam berbagai aspek. Islam yang hendak dihayati itu tentulah Islam dalam bentuk yang setaraf dengan cabaran, wawasan dan tuntutan masa kini. Ia perlu segar dan mempunyai unsur tajdid.

Dalam menangani situasi begini, gerakan mahasiswa harus sedar bahawa kehadiran serta peranan mereka akan menjadi lebih dominan serta bersemarak, kiranya mereka dapat memastikan bahawa keghairahan untuk menghayati Islam tersebut memerlukan mereka sendiri bahkan setiap aktivis yang dididik memiliki roh dan pemikiran Islam. Roh dan pemikiran Islam terjunam kukuh serta dapat diselaraskan di semua peringkat pengikut serta penggerak organisasi. Keselarasan ini harus merangkumi kesedaran tentang:

1. Islam ialah suatu Manhajul Hayah (sistem hidup) yang sepatutnya menjadi dasar negara dan budaya ummah
2. Kesempurnaan Islam (syumuliyatu 'I-Islam) dan ajarannya perlu berfungsi dalam masyarakat
3. Keperluan bergerak dalam satu rangka pemikiran yang selaras, searah dan dalam satu wadah pergerakan dengan fiqh prioritas syara' yang mu'tabar
4. Kemestian menolak aspek-aspek salbiah (negatif), ittikaliah (tawakal yang tidak bertempat), pessimistik dan faham sekularisme dalam amalan dan pemikiran
5. Kemestian mengasaskan ilmu atas dasar yang integrated (sepadu), sempuma dan selaras dengan nilai-nilai rabbaniah
6. Kemestian menuju ke arah kepimpinan yang mempunyai ilmu yang mutakamil (sepadu) dan memililci ciri-ciri warathatun-Nubuwah (pewaris ciri-ciri kenabian) untuk mengurangkan berlakunya kemungkinan-kemungkinan negatif
7. Keperluan menghargai wadah-wadah Islam yang lain serta sumbangan masing-masing dalam membawa ummah ke arah peningkatan hidup secara Islam
8. Peningkatan kesedaran sosio-politik untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam segenap peringkat dan bidang, sama ada peringkat pasca komunisme, mahupun peringkat New World Order
9. Penggarapan apa yang boleh dicapai dalam batas kemampuan dan kesempatan masa kini.
10. Kepentingan meningkatkan akhlak dalam konteks pergerakan dan juga berinteraksi dengan individu serta masyarakat.

Gerakan Kemahasiswaan dan Isu-isu Akhlak

Seperti yang telah disebutkan di atas, ternyata kebelakangan ini kita menyaksikan usaha-usaha yang cukup ghairah untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap bidang. Kita juga sedar bahawa kecemerlangan tidak sahaja ditentukan oleh teknik pengurusan serta bantuan alat semata-mata, tetapi lebih dari itu ia ditentukan juga oleh faktor kemanusiaan, atau nilai-nilai insan itu sendiri.

Dalam mencapai aspirasi pembangunan misalnya, manusia adalah unsur yang paling menentukan kejayaannya. Pembangunan tidak bererti jika manusia itu sendiri runtuh. Justeru itu nilai-nilai akhlak amat perlu diberi penekanan dalam gerakan kemahasiswaan agar pembangunan yang ingin digarap seimbang dengan nilai-nilai keislaman. Tidak ada ertinya pembangunan tanpa kesehjahteraan dunia dan akhirat.

Tatacara menangani masalah-masalah masyarakat mesti difahami dengan tepat dan direalisasikan dalam berbagai lapangan hidup. Malah disertai dengan rasa tanggungjawab iaitu dengan menganggap jatuh bangunnya gerakan Islam, nasib ummah adalah di tangan golongan pencinta Islam yang sepatutnya bingkas berbuat bergerak menyusun rancangan dan sebagainya Sikap lemah, acuh tak acuh adalah sikap mukhallafun (golongan yang enggan berjuang) yang dibenci oleh ALlah.
Semangat dan usaha menentang setiap yang bemama kemungkaran pula harus berkobar atau dikobarkan. Tanpa semangat ini iman akan menjadi lesu. Tekad jihad akan menjadi lemah dan tidak mampu menampilkan daya juang ke taraf maksikma. Roh yang tidak ada keazaman berjihad adalah roh yang masih bergelumang dengan semangat jahiliah seperti yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w.
من مات ولم يغز ولم يحدث نفسه بغزو , ومات على شعبة من النفاق
"Barangsiapa yang mati dan tidak berjihad dan tidak pernah bercita-cita untuk berjihad, mati dalam keadaan munafik".
ما ترك قوم الجهاد إلا عمهم الله بالعذاب
"Mana-mana kaum yang meninggalkan jihad nescaya ALlah akan mengenakan rnereka dengan seksaan yang merata."

Keunggulan, keagungan dan keindahan Islam sudah begitu banyak diperkatakan. Apa yang belum dikotakan dan ditampilkan dengan konkrit untuk zaman ini ialah contoh-contohnya yang nyata dan realisasinya. Setiap aktivis Islam berkewajipan membuktikan ajaran Islam itu dalam diri, keluarga dan wadah pergerakan mereka. Kita sepatutnya menjadi Ummatan Wassatan yang boleh memainkan peranan sebagai syuhada' 'linnas. Ini adalah suatu cabaran dan tanggungjawab yang besar dan berat. Mampukah gerakan mahasiswa memikul beban ini? Apakah kita berdaya atau mampu melaksanakan tugas-tugas Khaira umatun ukhrijat linnas (ummah terbaik) yang ditampilkan kepada manusia? Inilah cabaran yang menunggu jawaban praktikal daripada kita sekalian.

Perlu disedari gerakan kemahasiswaan harus menekan persoalan gerak kerja dakwah yang berkesan, dengan praktik akhlak Islam yang betul dalam konteks haraki Lantaran tanpa akhlak pembelotan, pengkhianatan dan sindrom individu tercicir dari gerakan dakwah akan berlaku. Sejarah telahpun mencatatakan fenomena ini, di mana figure yang 'gagah' dan mantap sekalipun boleh tercicir. Kita khuatir dengan adanya sindrom ini persaudaraan bertukar menjadi permusuhan, idealisme hanyalah ibarat impian di siang hari.

Memang tidak mudah untuk berpaut dengan nilai-nilai murni seperti yang ditegaskan oleh ALlah. Apatah lagi dalam suasana yang penuh dengan ransangan yang menarik manusia supaya melutut kepada tuntutan syahwatnya. Tidak mudah untuk mengamalksn sikap-sikap mulia dan akhlak-akhlak yang luhur dalam kemelut masyarakat yang menghakis segala daya tahan dan daya juang aktivis Islam. Tepat seperti yang ditegaskan oleh ALlah:


"Kalaulah tidak kerana kurnia dan rahmat ALIah nescaya tidak ada seorang pun dari kamu yang disucikan (jiwa dan hati nuraninya) ".

Tidak dapat dibayangkan betapa suramnya gambaran nasib umat sekiranya golongan pendakwah khususnya mahasiswa Islam gagal menghayati nilai warisan ini. Kalau mereka gagal mencapai cita-cita besar yang merujuk kepada pengembalian penghayatan Islam maka ini adalah suatu yang malang. Akan tetapi yang lebih malang ialah apabila nilai-nilai suci dan murni agama ini gagal dihayati dalam peringkat diri, keluarga dan wadah sendiri. Untuk mengelakkan hal ini maka para Dai' harus mengatasi kelemahan diri masing-masing.
Abu Nasr As-Saraj menyatakan bahawa dari segi adab manusia terbahagi kepada tiga peringkat:
- Ahlu 'd-Dunia: kebanyakan realisasi adabnya ialah dalam bentuk (memperelok) gaya bahasa dan kefasihan, menghafal ilmu dan sya'ir gurindam.
-Ahlu 'd-Din: kebanyakan manifestasi adabnya ialah mengasuh diri, mendisiplinkan anggota, menjaga batasan ALlah dan meninggalkan tuntutan syahwat.
- Ahlu' I Khususiah : kebanyakan latihan disiplin diri mereka ialah menjernihkan hati, mengelokkan batin, menunaikan janji (antara hamba dan tuhannya), menjaga waktu, kurang melayani perasaan dan lintasan filciran (yang tidak bermakna), sikap dan bicaranya sopan ketika memohon, ketika mendekatkan diri kepada ALlah;

Tanpa bersikap prejudis kita percaya gerakan mahasiswa mampu mencipta budaya kerja serta arus pergerakan yang cemerlang, kiranya mereka dapat memanfaat, menggarapi serta menanamkan roh serta nilai-nilai unggul agama sebagai teras serta arah perjuangam Semangat kecemerlangan mcmang cukup menyerlah dalam pelbagai aspek ajaran Islam. Allah sendiri menyatakan diri-Nya dengan sifat-sifat superlatif seperti Ahsanu 'I-khaliqin (Pencipta yang terbaik), Ahkamu 'I-hakimin (Hakim yang mengungguli segala hakim) dan sebagainya manusia sendiri dinyatakan sebagai makluk yang berkualiti tinggi - ahsani taqwim (ciptaan terbaik).

Penutup

Sudah sekian lama gerakan mahasiswa berperanan di tengah-tengah masyarakat. Malah sudah sekian ramai juga pimpinan serta pengikutnya yang datang dan pergi dengan cita-cita masing-masing. Sejarah kemahasiswaan telah mencatitkan bahawa mereka berkebolehan melahirkan satu force, satu mainstream atau satu tenaga bertindak serta satu kekuatan perubah yang amat dihargai masyarakat.

Gerakan kemahasiswaan, dengan gandingan serta gabungan tenaga cendikiawan dan ulama' seperti yang sedang berlaku ini perlu ditingkatkan dalam kadar kekuatan serta kelemahan masing-masing. Barisan penda'wah mesti diperkukuhkan dengan ukhuwwah, mahabbah dan tajarrud ilaLlah (ketulusan niat dan tekad perjuangan semata-mata kerana ALlah). Kelompok pimpinan mahasiswa serta pengikut yang prihatin amat memerlukan keazaman, kebijaksanaan, kesabaran serta kesungguhan dalam bekerja bagi merealisasikan gerakan mahasiswa yang mantap untuk mencapai cita-cita seperti yang diidam-idamkan.

Terlalu banyak ruang dan bidang yang boleh dihubungkan dengan usaha-usaha mencapai kecemerlangan. Dalam kesempatan yang terbatas ini kita tentu tidak dapat memperincikan semuanya. Gerakan mahasiswa Islam yang peka dan arif dapat merasakan keperluan-keperluan yang mendesak dalam konteks merealisasi kebangunan Islam. Misalnya dalam bidang dakwah, komunikasi, alat-alat bantu yang bercorak Islam dan lain-lain.

Setiap ruang, yang kecil dan besar menunggu dan mengharapkan sumbangan umat Islam yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Tanah-tanah pusara dan tukang belulang yang reput di seluruh dunia menjadi saksi atas pengorbanan sekian banyak pejuang Islam yang tidak kenali yang tidak pernah mendapat apa-apa bintang kehormatan duniawi yang fana. Jika pejuangan bukan kerana ALlah, nescaya hidup dan usaha mereka menjadi sia-sia

.Apa yang dikemukakan di sini ialah beberapa pandangan serta panduan ringkas ke arah mencapai kecemerlangan dalam gerakan kemahasiswaan yang ternyata masih mempunyai jalan yang berliku. Ranjau-ranjau penghalangnya pula masih wujud dari dalam dan luar. Justeru itu usaha GAMIS sebegini merupakan langkah yang perlu didokong oleh seluruh mahasiswa Islam. Persatuan Ulama' Malaysia, melalui Sekretariat Pelajarnya yang telah ditubuhkan pula akan tetap bersedia membimbing, memberi panduan dan menunjuk-ajar, jika perlu, terhadap mana-mana perkara yang dikira sesuai. Hanya kepada Allah kita bertawakkal serta berserah, innahu La haula wala quwwata illa biLlah.