Monday, July 14, 2008

SISWI : ANTARA PENGLIBATAN BERORGANISASI DAN CABARANNYA

Wanita dewasa ini, merupakan elemen terpenting dalam pola masyarakat dunia. Di dalam masyarakat mereka merupakan kelompok yang dominan. Keupayaan dan fitrah semulajadi mereka sekiranya dimanfaatkan semaksima mungkin mampu menggegarkan dunia moden.

Oleh itu, peranan dan tanggungjawab siswi (generasi intelektual) sebagai agen perubah masyarakat dalam sesebuah organisasi adalah sama pentingnya sebagaimana yang dilaksanakan oleh golongan cendiakawan Islam. Firman Allah s.w.t :
المؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض يأمرون بالمغروف وينهون عن المنكر
Maksudnya : “ Dan orang-orang lelaki yang mukmin dan orang-orang perempuan yang
mukminah menjadi penolong antara satu sama lain, mereka menyeru kepada perkara-perkara kebaikan dan menegah perkara-pekara kemungkaran “.

Sabda Rasulullah s.a.w :
النساء شقائق الرجال
Bermaksud : “ Wanita adalah sebahagian dari lelaki “.

2.0

Siswi diertikan sebagai golongan wanita terpelajar dan mempunyai pengetahuan yang luas. Manakala organisasi pula boleh diertikan sebagai sesuatu pergerakan yang mempunyai struktur pentadbiran yang kemas, menyusun dan merancang program dengan sistematik untuk mencapai matlamat yang dicita-citakan.

2.1 Apa sebab berorganisasi

Walaupun pergerakan Islam pada zaman moden ini hanya memberikan penumpuan dan perhatian yang serius kepada tarbiah fikriah, tarbiah rohaniah dan pengarahan. Namun terlalu sedikit mereka memberikan perhatian kepada perorganisasian sungguhpun ianya merupakan tulang belakang kepada pergerakan itu sendiri.

Kesatuan mereka yang utuh sekarang ini hanya disebabkan oleh satu ikatan yang tunggal iaitu ikatan akidah dan ikatan ukhuwwah Islamiah. Jika ikatan ini terungkai maka pergerakan akan terdedah kepada pelbagai krisis, pertentangan dan kucar-kacir.

Melalui organisasi akan mengumpulkan satu tenaga padu dan jitu untuk mencapai matlamat sesuatu pergerakan dan kekuatan yang kental ini akan menjadi benteng berhadapan dengan cabaran dan tindakan musuh.

Lantaran Islam amat menggalakkan seseorang individu menggabungkan diri mereka dengan mana-mana pergerakan yang bermatlamatkan Islam. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t :
وكأين من نبى قاتل معه ربين كثير فما وهنوا لما أصابهم في سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يجب الصابرين
Maksudnya : “ Dan berapa ramai nabi-nabi yang berperang dan bersamanya pengikut-pengikut agama Tuhan, tetapi mereka tidak merasa hina lantaran bahaya perang di jalan Allah dan mereka tidak lemah dan tidak mundur dan Allah kasih akan orang-orang yang bersabar “.

2.2 Peranan organisasi
Antara faktor penting kejayaan sesuatu pergerakan adalah bergantung kepada susunan organisasi. Pergerakan akan mencapai kejayaan cemerlang lantaran perencanaan yang bijak dan perorganisasian yang teliti.

Islam merupakan agama yang mengajar umatnya hidup bernizom dan menolak cara terburu-buru serta tidak berperaturan. Sabda Rasulullah s.a.w :
التأنى من الله والعجلة من الشيطان
Maksudnya : “ Bertenang itu datang dari Allah s.w.t dan terburu-buru itu datang dari syaitan “.

Kata-kata ulama’ :
الحق بلا نظام يغلبه الباطل بنظام
Maksudnya : “ Kebenaran tanpa penyusunan akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun rapi “.

Sesungguhnya melalui organisasi terdapat 4 unsur penting dalam sesuatu pergerakan :

2.2.1 Dasar perjuangan

Sesebuah pergerakan yang bermatlamatkan Islam, dasar perjuangan mereka adalah Islam.Perencanaan dan perjuangan yang mereka lakukan adalah untuk mentauhidkan Allah. Menyeru manusia ke arah beriman kepada-Nya dan menolak sebarang unsur kesyirikan.

Matlamat akhir perjuangan mereka agar kaliamah Allah benar-benar tinggi sehingga terasa kewajipan untuk menegakkan segala bidang politik, ekonomi, sosial dan lain-lain berdasarkan Islam.
الاسلام يعلو ولا يعلى عليه
Maksudnya : “ Islam itu tinggi dan tiada peraturan yang mengatasi ketinggian Islam “.

اقامة الدين والسياسة الدنيا به
Maksudnya : “ Dirikanlah Islam dan tadbirlah dunia dengan Islam “.

2.2.2 Tenaga

Pengurusan organisasi yang baik akan dapat membentuk hubungan dua hala yang erat antara barisan pimpinan dengan anggota bawahan. Keadaan ini akan melahirkan perasaan tanggungjawab bersama di dalam sesebuah pergerakan.

Di samping itu, pengagihan tugas yang tepat dan saksama mengikut kemampuan anggota adalah begitu penting untuk mencapai kesempurnaan matlamat sesebuah pergerakan. Kaedah menyatakan :
اسناد دور المناسب في مكان المناسب
Maksudnya : “ Meletakkan individu yang berkemampuan mengikut tempat yang sesuai “.

2.2.3 Penyusunan struktur pentadbiran

Melalui organisasi yang kemas akan melahirkan penyusunan struktur pentadbiran yang rapi. Penyusunan ini akan mewujudkan bidang kuasa pentadbir dan tenaga kerja semua peringkat.

Pengaliran maklumat akan berjalan dengan lancar apabila semua jentera pentadbir berfungsi mengikut bidang kuasa yang diserahkan kepadanya. Oleh itu, pemilihan anggota yang terlibat di dalam jentera pentadbiran ini dipilih di kalangan mereka yang bersifat qudwah dan amanah. Ingatlah amaran Rasulullah s.a.w :
اذا وسد الأمر غير أهله فانتظر الساعة
Maksudnya : “ Apabila menyerahkan sesuatu urusan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kebinasaan “.

2.2.4 Taktik dan strategi

Untuk mencapai matlamat dan cita-cita perjuangan, ia memerlukan bukan sahaja pengorbanan tetapi cara-cara yang sesuai dan berkesan. Antara cara-cara bertindak yang perlu dilakukan adalah berikut :


a) Cara-cara itu hendaklah halal mengikut pandangan Islam. Islam tidak setuju kebenaran dicapai melalui cara kebatilan. Kata-kata ulama’ yang hendak menolak kaedah sekularisme :
الغاية لا تبرر الوسيلة
Maksudnya : “ Matlamat tidak menghalalkan cara “.

b) Cara-cara tersebut hendaklah sesuai dengan tenaga kerja sesebuah pergerakan dan keadaan masyarakat. Ini disebabkan ada cara yang tidak mampu dilaksanakan oleh pergerakan dan hanya sesuai mengikut geografi sesuatu tempat.

c) Cara tersebut hendaklah flexible, boleh dikembangkan dan diubahsuai apabila keadaan dan persekitaran berubah. Wasilah yang digunakan tidak tetap atau statis mengikut selama-lamanya.

d) Hendaklah cara tersebut bersifat realistik mengikut keadaan dan meletakkan halangan serta cabaran dalam perhitungan.

e) Taktik pergerakan mestilah disokong oleh nas atau pengalaman supaya wujud kemantapan pergerakan tersebut.

3.0 SISWI DALAM ORGANISASI

Sesungguhnya kedatangan Islam telah mengangkat semula darjat ketinggian dan kemuliaan kaum wanita. Jika dibandingkan pada zaman jahilyyah, mereka menganggap kaum wanita sebagai barang dagangan dan tiada nilai.

Pada zaman kegemilangan Islam pula, wanita telah dapat melakukan peranannya yang sangat besar dalam pembangunan, kemajuan masyarakat dan agama Islam. Mereka juga mempelopori karya yang besar samada dalam bidang sosial, ekonomi mahupun politik.

Apa yang diharapkan, sejarah kegemilangan kaum wanita silam akan dicernakan kembali oleh golongan siswi sebagai ahli akademik yang mempunyai pengetahuan am yang luas, melibatkan diri dalam kerja-kerja organisasi.

Sewajarnya golongan siswi hari ini, mengorak langkah yang lebih ke hadapan sesuai dengan cabaran dunia semasa. Pada masa kaum wanita merupakan masyarakat dominan, peranan dan penglibatan siswi dalam organisasi sebagai pucuk pimpinan atau anggota yang aktif amat diperlukan. Masyarakat amat dahagakan khidmat kepimpinan mereka.

Justeru itu, golongan siswi perlu mendapat pendedahan yang secukupnya di bidang kerja-kerja organisasi di alam kampus dalam usaha melahirkan daya kepimpinan yang matang sebagai agen perubah masyarakat.

3.1 APAKAH PEMIMPIN

Adalah wajar bagi kita mengkaji apakah yang dikatakan kepimpinan sebelum kita membuat penelitian mengenai sifat-sifat kepimpinan.

Kepimpinan adalah sejenis seni hubungan perilaku manusia, pengaruh daya tindakan serta penghalaannya ke arah matlamat tertentu dengan cara yang boleh menjamin kepatuhan, kepercayaan dan penghormatannya.

Selain daripada itu, untuk menyempurnakan watak kepimpinan seseorang individu perlu ada potensi-potensi lain dari segi fikiran, kerohanian, jasmani, keorganisasian, akhlak dan peribadian.

3.2 SIFAT-SIFAT KEPIMPINAN

Diantara sifat-sifat kepimpinan yang perlu ada pada seseorang pemimpin adalah seperti berikut :

3.2.1 Mengenali program pergerakan

Seseorang pemimpin harus mengenali dengan mendalam berkenaan situasi-situasi fikiran dan perorganisasiannya sepertimana ia juga harus tekun melaksanakan aktiviti-aktiviti dan memerhatikan segala kerja serta tindak-tanduknya dengan teliti.

Kejayaan pemimpin akan terjamin apabila ia sebati dengan pergerakan dan mempunyai hubungan dua hala yang erat dengan anggota bawahan untuk mengetahui masalah dan pandangan-pandangan mereka.

3.2.2 Mengenali jiwa

Di antara kewajipan pemimpin ialah mengetahui kelemahan dan kekuatan yang ada pada dirinya sendiri. Justeru itu, haruslah pemimpin mengambil berat masalah berikut :

a) Mengetahui titik kelemahan yang ada padanya lalu berusaha memperkuatkannya.

b) Mencari segi-segi kekuatan yang ada pada dirinya serta berusaha menyuburkan dan memajukannya.

c) Berusaha bersungguh-sungguh untuk memperkayakan pengetahuan umum dan banyak mempelajari berbagai-bagai topik, pendapat dan fikiran di dalam bidang politik, sosial, ekonomi dan lain-lain.


d) Mengkaji peribadi pemimpin-pemimpin Islam dan bukan Islam serta membuat kajian cara kepimpinan mereka dan faktor-faktor kejayaan atau kegagalan mereka.

3.2.3 Teladan yang baik dan perhatian kepada anggota

Telatah pemimpin, kecergasan, budi-pekerti, perkataan dan segala perbuatannya mempunyai pengaruh yang amat berkesan kepada seluruh anggota pergerakannya.

Di samping itu, thiqah anggota kepada pemimpin sejauh mana mereka memberikan perhatian yang serius segala permasalahan yang dihadapi oleh anggota bawahan. Pemimpin yang berjaya adalah mereka yang dapat melakukan hubungan yang baik dengan anggota bawahan, merasa riang dan duka bersama serta berusaha menyelesaikan masalah anggota.

Firman Allah s.w.t :
لقدجاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف الرحيم
Maksudnya : “ Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu dan, sangat menginginkan keimanan bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap oang-orang mukmin “.

3.2.4 Pandangan yang tajam

Kemampuan pemimpin melakukan penyiasatan yang cepat dan tepat dalam semua masalah serta berkemampuan membuat keputusan yang tegas dalam berbagai-bagai situasi dan keadaan akan menimbulkan rasa kepercayaan dan penghargaan para anggota kepada dirinya. Sebaliknya sikap teragak-agak, kabur, resah dan tidak tegas akan menghilangkan kepercayaan anggota terhadap dirinya. Sabda Rasulullah s.a.w :
ان الله يحب البصر الناقذ عند ورود الشبهات و العقل الكامل عند هجوم الشهوات
Bermaksud “ Bahawa Allah suka kepada pandangan yang tajam ketika terdapat
kekeliruan dan Alah suka kepada akal yang matang ketika nafsu menyerang “.



3.2.5 Beristiqamah dan bersabar

Pemimpin perlu beristiqamah dengan ajaran Islam dan tidak terpengaruh dengan habuan dunia. Di samping itu, mereka perlu sabar dalam menghadapi segala tribulasi dan cabaran semasa. Dunia hari ini, memerlukan pemimpin yang kuat tekad dan tidak gentar berhadapan dengan tribulasi.

3.2.6 Sedia berkorban

Sifat suka berkorban dan mementingkan diri orang lain amat diperlukan dalam kepimpinan,. Kesatuan dan kemantapan anggota bertambah utuh apabila sifat ini menjadi budaya pergerakan.

3.2.7 Keupayaan membuat keputusan

Kemahiran ini adalah satu perkara yang penting dalam memimpin sesuatu pergerakan terutama sekali apabila ia melibatkan kerja-kerja yang menghadapi persekitaran yang sentiasa berubah.

Keupayaan pemimpin membina sifat ini bergantung kepada 3 perkara :
a) Kesanggupan mengambil risiko-risiko dan kesempatan yang muncul.
b) Kesanggupan bertanggungjawab terhadap keputusan yang diambil dan
akibatnya.
c) Kesanggupan untuk menerima kemungkinan ketidak-sempurnaan sesuatu keputusan.

3.2.8 Keupayaan merumus dan menyampaikan arah organisasi

Apabila melakukan sesuatu kerja, para anggota sentiasa ingin jelas akan arah dan tujuan kerja mereka. Keupayaan pemimpin merumus sesuatu visi kepada anggota bukan sahaja menjelaskan arah yang dituju oleh organisasi malahan dapat juga menyatukan penumpuan usaha organisasi kepada sesuatu perkara yang lebih khusus.



3.3 PERANAN PEMIMPIN

Di antara peranan penting yang dimainkan oleh pemimpin adalah seperti berikut :

3.3.1 Mahir dan faham mengenai organisasi yang dianggotainya samada dari segi peraturan mahupun dari segi tujuan, matlamat dan kaedah-kaedah kerja ke arah mencapai matlamat organisasi.

3.3.2 Memahami secara mendalam bidang tugas dan bidang kuasa setiap jawatan. Di samping itu, mempunyai konsepsi dan visi yang sahih serta yakin terhadap kejelasan matlamat perjuangan yang ditentukan oleh organisasinya agar setiap program tidak laksanakan secara irtijali.

3.3.3 Berusaha meningkatkan prestasi kerja dari masa ke semasa.

3.3.4 Sedar bahawa semua anggota yang terdapat dalam organisasi merupakan aset (harta) yang paling berharga untuk perjuangan. Oleh yang demikian kerja memproses kelahiran pemimpin yang berkeahlian daripada aset tersebut untuk memimpin ummah dalam satu program penting dalam aktiviti organisasi.

3.3.5 Peka terhadap semua perkara yang menyentuh organisasi dan mengambil tindakan segera. Bijak menilai seseuatu persekitarannya dan suasana serta mengeluarkan keputusan untuk tindakan.

3.3.6 Mengagih dan membuat pembahagian tugas mengikut kemampuan anggota tanpa hanya melihat kebolehan pidato dan memberi taujihat sahaja dengan mengenepikan sudut organisasi.

3.4 PERANAN ANGGOTA

Kejayaan sesuatu pergerakan bukan sahaja bergantung kepada barisan pimpinan malah peranan yang dimainkan oleh anggota juga merupakan salah satu asas kejayaan sesuatu organisasi. Di antara peranan yang penting perlu dimainkan oleh ahli adalah seperti berikut :

3.4.1 Taat setia

Taat setia adalah daripada faktor-faktor penting yang dikehendaki di dalam kerja-kerja organisasi. Sesebuah pergerakan tidak akan mencapai tahap keorganisasian yang sempurna selagi unsur taat setia tidak sampai mercu kekuatan dan kesempurnaannya.

Pada pandangan Islam ketaatan ini berakar umbikan kepada ikatan akidah dan perundangan Islam. Ketaatan kepada kepimpinan juga sebahagian daripada ketaatan kepada Allah.

Firman Allah s.w.t :
يا أيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم
Maknanya : “ Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan
taatlah kamu kepada rasul dan orang-orang yang memerintah di kalangan kamu”.

3.4.2 TANGGUNGJAWAB

Perasaan tanggungjawab di kalangan anggota perlu dipupuk dari masa ke semasa. Cetusan perasaan ini akan melahirkan anggota-anggota yang sedia berkorban dan memikul bebanan pergerakan. Mereka akan merasakan bahawa jatuh-bangun, maju-mundur organisasi adalah tanggungjawab bersama.

Situasi ini juga akan menimbulkan kesedaran anggota bahawa mereka merupakan benteng utama organisasi dalam menghadapi serangan musuh.

3.4.3 MEMBERI PANDANGAN KRITIKAN

Tanggungjawab anggota tidak hanya terbatas untuk melaksanakan arahan barisan pimpinan sahaja. Sebaliknya mereka juga mesti memberi bantuan, sokongan dan pertolongan dalam usaha menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

3.4.4 MEMBELA PEMIMPIN

Anggota pergerakan mestilah bersiap sedia apa sahaja untuk mempertahankan dan membela pemimpin. Mereka juga mesti memberi bantuan, sokongan dan pertolongan dalam usaha menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

4.0 MEMBENTUK ORGANISASI YANG CEMERLANG

Sebagai manifestasi ciri-ciri pergerakan yang ketara yang perlu diberi perhatian untuk membina organisasi cemerlang adalah di atas asas-asas berikut :

a) Memilih qiadah (pimpinan) yang memahami matlamat dan mengetahui wasilah-wasilah serta mampu merancang untuk mencapai matlamat tersebut.

b) Pergerakan berasaskan kepada manhaj keilmuan tarbiah yang sejahtera serta perencanaan yang lengkap. Di samping itu pengurusan kepimpinan yang kemas dan berperaturan serta disiplin yang rapi.

c) Bekerja keras, serius, gigih dan berpotensi dalam menjalankan semua urusan pergerakan. Perlaksanaaanya juga perlu seimbang, tetap dan utuh.

d) Pergerakan mampu menghimpunkan seluruh anggota di mana jua ia berada.

e) Menentukan cara perhubungan anggota dengan pihak pimpinan yang bertanggungjawab. Di samping itu menanamkan thiqah yang mendalam antara barisan pimpinan dan pihak bawahan.

f) Setiap anggota mesti bekerja mengikut kebolehan, kemampuan, kelayakan, keupayaan dan persediaan masing-masing.

g) Iltizam yang sepenuhnya dengan apa yang telah ditetapkan melalui pihak yang bertanggungjawab ke atasnya.

h) Pimpinan yang lebih tinggi hendaklah menjauhkan sikap “ Harap ada percaya tidak “ kepada anggota organisasi pimpinannya. Sikap sedemikian boleh menyebabkan petugas hilang keyakinan dan lain-lain kesan negatif kepada pergerakan.

4.1 Beberapa Kaedah berorganisasi

4.1.1 Pengurusan dan perancangan

Untuk membolehkan proses perancangan berjalan dengan berkesan, terdapat 3 perkara yang dimiliki oleh mereka yang ingin merancang iaitu :

I) Disiplin

Perancangan adalah suatu proses yang memerlukan penganalisasian yang teliti dengan pemikiran yang rasional dan sistematik. Tanpa disiplin dan kesabaran, perancangan yang rapi mungkin tidak dapat dicapai. Sesuatu perancangan yang berjaya memerlukan penumpuan usaha dan susun atur kerja yang baik. Oleh itu, tanpa disiplin segala perancangan yang telah dilakukan hanya menjadi impian di atas ketas.

ii) Masa

Masa yang diberikan kepada proses merancang mempengaruhi kualiti sesuatu perancangan. Kita memerlukan masa yang secukupnya untuk membuat analisis maklumat sebelum membuat sebarang rumusan mengenai matlamat yang ingin dicapai dan tindak-tanduk yang ingin diambil. Perancangan yang menggunakan waktu yang singkat mungkin hanya merupakan rumusan berdasarkan andaian-andaian dan kefahaman yang tidak tepat.

iii) Maklumat

Sesuatu perancangan memerlukan maklumat semasa dan tepat. Analisis maklumat banyak mempengaruhi kualiti perancangan yang dibuat.

Adakalanya kita terpaksa membuat suatu keputusan yang cepat dan singkat. Oleh itu, di dalam kedaan ini keputusan adalah banyak bergantung kepada andaian dan pengalaman-pengalaman yang lalu.

Oleh itu, untuk menyempurnakan tujuan ini beberapa langkah tertentu perlu diambil dalam proses perancangan di antaranya :

(A) Analisis suasana

Aspek-aspek utama yang perlu diberi perhatian di dalam analisis suasana termasuklah :
1. Aspek luaran

a.) Sosial

Aspek ini menyentuh persoalan-persoalan seperti nilai, sikap, individu serta perkumpulan samada formal atau tidak formal yang mempengaruhi masyarakat berkenaan. Kita perlu memahami suasana hubungan di antara ahli-ahli masyarakat. Sebagai contoh satu masyarakat yang menganut berbagai-bagai agama sudah tentu berbeza daripada masyarakat yang terdiri daripada penduduk yang menganut satu agama.

b) Politik

Aspek politik tidak semestinya terhad kepada persoalan parti sahaja yang mewakili sesebuah kawasan tetapi seharusnya lebih tertumpu kepada dinamisme politik masyarakat berkenaan.Kita perlu memahami individu-individu, isu-isu, tumpuan pengaruh dan kuasa serta institusi yang penting dalam masyarakat tersebut serta tahap kesatuan ahlinya.Ini disebabkan sesetengah masyarakat parti politik mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat.

Satu perkara yang mempunyai kaitan dan perlu dikenal pasti ialah ancaman-ancaman yang dihadapi oleh pergerakan. Kita perlu mengenali kawan dan siapakah lawan serta tahap kekuatan mereka.

c) Dakwah

Sikap dan tanggapan masyarakat terhadap Islam dan dakwah berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain. ada masyarakat yang terbuka dan mudah menerima dakwah. Di sana ada juga masyarakat yang merasa payah untuk menerima Islam kerana difikirkan membebankan.

Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah kebebasan berdakwah. di negara yang memberi kebebasan berdakwah kita gunakan kebebasan tersebut untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat semaksima mungkin.

2. Aspek dalaman

a) Keupayaan tenaga kerja

Kita hendaklah mengenal pasti kemahiran, pengalaman serta keupayaan untuk melaksanakan kerja. Tahap iltizam, pengorbanan dan displin merupakan perkara yang sangat mmpengaruhi kualiti anggota.

b) Kekuatan dan kelemahan organisasi

Setiap organisasi mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tertentu. Kita perlu memahami hal ini kerana keupayaan kita untuk bertindak seterusnya bergantung kepada kelemahan dan kekuatan yang ada pada diri kita.

c) Kedudukan kewangan

Sesebuah organisasi perlu mewujudkan sumber kewangan yang boleh membiayai aktiviti-aktivitinya kerana keupayaan organisasi merancang sesuatu aktiviti akan dipengaruhi oleh kedudukan kewangan kerana keupayaan organisasi merancang sesuatu organisasi akan dipengaruhi oleh kedudukan kewangan.

d) Struktur dan budaya organisasi

Struktur dan budaya oranisasi banyak mempengaruhi keupayaan organisasi menjalankan sesuatu perancangan. Struktur adalah alat yang digunakan untuk menyusun aktiviti dan sumber organisasi. Apa yang penting ialah struktur tersebut hendaklah bersesuaian dengan peranan yang dimainkan oleh organisasi. Demikian juga budaya organisasi hendaklah menggambarkan peranan yang dimainkan oleh organisasi.

Hasil daripada analisis-analisis suasana yang dilakukan kita dapat memahami dan mengenal pasti 4 perkara utama :

I) Kelemahan yang ada pada organisasi berkenaan
ii) Kelemahan yang ada pada organisasi berkenaan
iii) Kesempatan yang ada di sekeliling
iv) Ancaman yang dihadapi oleh organisasi.

(B) Penentuan matlamat

Penentuan seterusnya selepas penganalisian suasana ialah penentuan maklumat. Di sini terdapat 2 peringkat matlamat iaitu matlamat setrategik dan matlamat taktikal.

Matlamat strategik ialah : matlamat jangka panjang yang tertumpu kepada persoalan tujuan dan arah organisasi. Manakala matlamat taktikal ialah: matlamat jangka pendek yang perlu dicapai untuk menjayakan matlamat strategik.

Di sini dinyatakan beberapa perkara sebagai panduan dalam menentukan matlamat :

a) Masalah-masalah yang dihadapi

Kita perlu menyenaraikan masalah-masalah yang dihadapi dan memerlukan pemerhatian. Ada di antara masalah-masalah ini yang boleh kita ketepikan dan ada pula yang menjadi penghalang sekiranya kita tidak menyelesaikannya terlebih dahulu.

b) Kekuatan dan kelemahan

Dalam mengenali kekuatan dan kelemahan organisasi kita akan dapat menentukan perkara-perkara yang perlu diperkukuhkan lagi. Matlamat yang mungkin kita tetapkan berkemungkinan dalam bentuk usaha mengatasi kelemahan atau memperkukuhkan lagi.

c) Aktiviti

Organisasi perlu teliti sama ada berusaha untuk memperbanyakkan aktiviti atau meningkatkan keberkesanan aktiviti yang sedang dan akan dilakukan. Oleh itu, organisasi hendaklah membuat penilaian keberkesanan segala kativiti yang telah dilaksanakan untuk mencari jalan meningkatkan keberkesanan aktiviti tersebut.

d) Keberkesanan

Para anggota organisasi hendaklah sentiasa mencari jalan untuk mempertingkatkan keberkesanan daya kerja yang mereka lakukan. Contohnya, usaha cuba mengurangkan masa dan perbelanjaan yang digunakan untuk melaksanakan sesuatu aktiviti.

e) Keahlian

Sesebuah pergerakan hendaklah berusaha mengembangkan pengaruh di dalam masyarakat. Di samping itu, kualiti keahlian juga perlu ditik-beratkan.

f) Pembangunan anggota

Selain menambahkan keahlian, setiap organisasi pergerakan mesti memberikan perhatian yang serius kepada usaha meningkatkan kemamppuan anggota. Usaha ini boleh dilakukan melalui latihan kepimpinan yang dirancang dengan teliti.


4.1.2 Motivasi : Bagaimana mewujudkannya di kalangan anggota

Berikut adalah beberapa perkara yang dapat dimanfaatkan oleh pimpinan untuk mendorong motivasi anggota :

a) Peluang untuk memberikan sumbangan

Kebanyakan anggota pergerakan mempunyai keinginan untuk menyumbangkan tenaga,material dan moral mereka untuk organisasi. Jumlah sumbangan ini berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, organisasi hendaklah membuka ruang yang seluas-luasnya untuk membolehkan setiap anggota memberikan sumbangan.

Sekiranya organisasi menghadkan peluang tersebut, ia bukan sahaja tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi anggota, malah kadang-kala menyebabkan mereka merasa bosan dan meninggalkan organisasi.

b) Penerimaan sosial

Seorang anggota yang aktif biasanya mempunyai keinginan untuk diterima oleh anggota yang lain sebagai rakan seperjuangan. Penerimaan ini penting kerana identiti seseorang lebih banyak dipengaruhi oleh keanggotaannya dalam sesuatu pergerakan. Inilah yang dikatakan penerimaan sosial dalam memperkukuhkan lagi identiti seseorang.

c) Keinginan untuk peningkatan

Antara lain cita-cita anggota pergerakan ialah keinginan untuk meningkatkan diri sama ada dari segi ilmu ataupun amal. Peningkatan ini mempunyai hubung kait yang rapat terhadap sumbangan mereka kepada pergerakan. Peningkatan di sini bukan sahaja terhad kepada pertambahan ilmu sahaja, tetapi termasuklah pengalaman dan kemahiran baru.

d) Keinginan untuk dipercayai

Sekiranya seseorang itu diberikan kepercayaan, beliau akan merasa yakin terhadap kemampuan dirinya. Apabila keyakinan ini wujud, ia akan mendorong semangat yang optimis untuk terus melaksanakan segala tugas yang diserahkan.

e) Kehendak kebajikan

Setiap manusia mempunyai masalah tertentu samada berbentuk peribadi atau yang berkaitan dengan organisasi. Menyelesaikan masalah anggota bukan sahaja meringankan bebanan mereka, malah membolehkannya bekerja dengan lebih berkesan dalam pergerakan.

f) Keinginan untuk dihormati

Penghormatan bukan merujuk kepada keinginan untuk dipuji atau disanjung, tetapi merujuk kepada keinginan seseorang untuk dihormati pandangan, perasaan dan pendapat yang diutarakan. Sebagai contoh, kadang-kala kaum lelaki menganggap kaum wanita selalu emosi. Lantaran itu, setiap pandangan yang diutarakan oleh kaum wanita diketepikan tanpa melihat hujah yang rasional. Implikasinya, semangat untuk mereka bekerja menjadi lemah dan tiada dorongan.

5.0 SUMBANGSIH WANITA-WANITA UTAMA ISLAM

Pemaparan lembaran sejarah silam tentang sumbangsih dan peranan yang dimainkan oleh wanita-wanita utama Islam adalah untuk mendorong motivasi golongan siswi hari ini terhadap tanggungjawab yang perlu mereka lakukan.

Pada dasarnya, kaum wanita ketika itu berada di puncak kegemilangan Islam, mereka mempelopori karya besar, di antaranya :

5.0.1 Wanita ikut berperang

Isteri-isteri nabi s.a.w dan sesetengah isteri para sahabat r.a kerap-kali dibawa bersama di medan peperangan. Peranan mereka adalah mengobarkan semangat jihad kaum lelaki dan merawati tentera Islam yang cedera. Di antara sri kandi Islam yang rela berkorban untuk menegakkan Islam dan terlibat di medan peperangan lelaki ialah :

1) Nusaibah
Beliau seorang wanita muslimah yang ikut berperang mulai zaman rasulullah s.a.w hingga zaman Khalifah Abu Bakar r.a. Akhirnya beliau tergugur syahid di medan peperangan dengan mendapat 12 liang luka di tubuhnya.

2) Ummu Salamah Binti Muaz Bin Jabal

Seorang muslimah yang menyertai peperangan Yarmuk pada zaman Rasulullah s.a.w. Dia berhasil membunuh musuh sampai 9 orang tentera Rumawi yang gagah dengan hanya menggunakan potongan tiang khemah. Di samping tentera wanita yang gagah berani, beliau juga ahli pidato dan ahli hadith.

5.0.2 Wanita dalam politik

Kalau di dalam medan peperangan, wanita Islam menunjukkan keberanian untuk mati syahid, sudah pasti di bidang politik mereka turut memberikan perhatian dan penglibatannya. Dalam hal ini, satu-satunya tokoh wanita Islam ialah Saidatina Aisyah Binti Abu Bakar. Ketika perselisihan dalam cara memilih khalifah kedua beliau mencadangkan agar dilantik panitia memilih khalifah. Cadangan beliau diterima dan akhirnya Saidina Umar r.a dilantik menjadi khalifah Islam kedua.

5.0.3 Wanita tempat rujukan

Wanita Islam pada zaman kegemilangan Islam telah menyumbangkan tenaga dan fikiran mereka untuk kemajuan Islam. mereka mempunyai keahlian di dalam
ilmu agama seperti ilmu Hadith, Feqah dan ýFaraid. Di antara tokoh yang menonjol di kalangan mereka ialah Saidatina Aisyah r.a tempat rujukan perawi hadith.

6.0 CABARAN BERORGANISASI DAN PENYELESAIANNYA

Matlamat mendaulatkan Islam melalui pergerakan merupakan satu tanggungjawab yang amat besar. Usaha-usaha untuk mencapai matlamat tersebut sudah pasti akan menghadapi cabaran dan tribulasi. Di antara cabaran tersebut ialah :

6.0.1 Perancangan musuh

Pergerakan Islam pada hari ini sedang menghadapi cabaran musuh-musuh Islam sama ada dari segi strategi merosakkan fikiran umat Islam ataupun memusnahkan organisasi pergerakan Islam.

Mereka sentiasa menyusun strategi membangunkan pusat-pusat pengajian untuk mendidik dan mengorientasi kader-kader untuk memusuhi Islam. Di samping itu, mereka juga menguasai setiap pertubuhan antarabangsa. Sebagai contoh ; Pergerakan Yahudi Sedunia sekarang ini telah menguasai sebahagian besar media cetak dan media komunikasi dunia seperti Times, Daily Telegraf, Daily Express, Daily Mail, Sunday Times dan beberapa media elektronik.

Untuk menghadapi perancangan musuh ini, setiap pergerakan Islam juga perlu menyusun strategi menyaingi perancangan musuh. Perancangan organisasi tidak memadai hanya membuat pengkhususan tertentu dan meninggalkan sebahagian yang lain. Pergerakan juga seharusnya berusaha menubuhkan pusat-pusat pengajian Islam untuk melatih dan mendidik kader-kader Islam yang akan mempertahankan Islam. Seterusnya, mereka juga harus menguasai setiap pertubuhan kebajikan, menyediakan media massa dan alat komunikasi yang canggih menyaingi pihak musuh dan mengambil berat percaturan politik antarabangsa.

Perancangan ini akan bertambah mantap apabila setiap pergerakan menerima penglibatan golongan siswi secara aktif melaksanakan perencanaan tersebut. Firman Allah s.w.t :
وقاتلوهم حتى لا تكون فتنة ويكون الدين كله لله
Maksudnya : “ Dan perangilah mereka sehinggalah tiada fitnah lagi dan sehingga agama Allah hanya untuk Allah sahaja.”

Sabda Rasulullah s.a.w :
ان الله يحب من أحدكم اذا عمل العمل أن يتقنه
Maksudnya : “ Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu yang melakukan sesuatu perbuatan dengan tekun “.



6.0.2 Keseimbangan kerja
Kebijaksanaan menyusun masa dan memberikan keutamaan di dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan amat penting. Faktor kegagalan dan ketidak-sempurnaan pergerakan adalah disebabkan anggotanya gagal mewujudkan perseimbangan.

Setiap anggota pergerakan mempunyai 3 mas’uliyyat yang perlu dilaksanakan :

I) Tanggungjawab terhadap diri

Setiap individu perlu memperlengkapkan diri dengan akal fikiran yang sejahtera, jasmani sihat dan rohani yang mengabdikan diri kepada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w :
ان لنفسك عليك حقا وان لزوجك عليك حقا وان لربك عليك حقا فاعل كل ذى حق حقه
Bermaksudnya : “ Sesungguhnya untuk diri kamu ada hak, sesungguhnya pada isteri kamu ada hak, sesungguhnya kepada Tuhan kamu ada hak dan tunaikanlah setiap yang mempunyai hak akan haknya “.

ii) Tanggungjawab terhadap keluarga

Pembinaan keluarga yang muslimah akan mempengaruhi pembentukan masyarakat yang muslim. Firman Allah s.w.t :
يا أيها الذين آمنوا قوا أنفسكم وأهلكم نارا
Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkanlah diri kamu dan kaum keluarga kamu dari api neraka “.

iii) Tanggungjawab terhadap pergerakan
Setiap anggota pergerakan tidak terlepas daripadanya tanggungjawab untuk melaksanakan amanah pergerakan. Amanah ini, adalah untuk mencapai matlamat perjuangan organisasi “.
Untuk mengatasi permasalahan ini, pembahagian tugas mengikut kelayakan dan kemampuan anggota adalah penting. Di samping itu, perencanaan yang teliti mengikut kualiti anggota perlu dikaji untuk menjayakan ketiga-tiga mas’uliyyat di atas.
Justeru itu, untuk menjayakan matlamat pergerakan ia tidak boleh merancang di dalam sudut tertentu dan meninggalkan sebahagian yang lain.
6.0.3 Tindakan disiplin
Antara faktor lain cabaran kepada mereka yang melibatkan diri secara aktif di dalam sesuatu pergerakan adalah tindakan disiplin dan tata tertib daripada majikan. Kadangkala prestasi anggota menurun disebabkan tindakan ini. Suasana ini diakui menjadi sebab utama mengapa ramai di kalangan generasi intelektual yang aktif di alam kampus jumud apabila berada di medan perjuangan.

Untuk membina dan memulihkan semula prestasi anggota tersebut, sesebuah organisasi perlu memperluaskan bidang kebajikan, membantu dan menyelesaikan permasalahan anggota. Keadaan ini adalah untuk menjamin keberkesanan kerja dan meningkatkan keupayaan daya produktiviti para anggota.

6.0.4 Golongan ulama’ jahat

Perjuangan sesebuah organisasi bukan sahaja berhadapan dengan kaum musyrikin, tetapi mereka juga menghadapi tindakan jahat golongan yang digelar Ulama’ Suk (jahat). Mereka hidup hanya untuk mengejar habuan dunia.

Masyarakat yang jahil tentang agama mudah terpengaruh dengan kata-kata pidato mereka. Kadang-kala untuk menghadapi golongan ini lebih payah daripada golongan musyrikin,

gerakan Islam dalam menghadapi suasana ini perlu menyediakan jawapan-jawapan dan penjelasan-penjelasan yang meyakinkan di samping ianya dapat mematahkan segala tuduhan jahat dan serangan dari mereka. Tindakan mereka bukan sahaja mencemarkan nama baik pejuang-pejuang Islam, tetapi menjatuhkan imej agama Islam. Untuk tujuan ini juga, sesebuah gerakan perlu menubuhkan satu unit untuk bekerja menghadapi tindakan golongan ini.

6.0.5 Merendahkan keupayaan golongan siswi

Kelicinan sesuatu perancangan yang disusun oleh sesebuah pergerakan akan tersekat apabila ada di antara barisan kepimpinan memandang rendah kemampuan golongan siswi. Mereka beranggapan golongan siswi selalunya emosional. Pandangan dan pendapat mereka ditolak tanpa memandang kerasionalannya terlebih dahulu.

Adakalanya golongan ini berpegang dengan hadith Rasulllah s.a.w tanpa melihat kemaslahatan ummah masa kini. Sabda Rasululullah s.a.w :
لن يفلح القوم اسندوا أمرهم الى امرأة
Maksudnya : “ Tidak akan mencapai kemenangan selama-lamanya kaum yang menyandarkan urusan pemerintah kepada kaum wanita “

Sesebuah pergerakan apabila menghadapi masalah ini sewajarnya dapat memperbaikinya secepat mungkin sebelum parah. Untuk menggalakkan motivasi bekerja gigih di kalangan anggota seharusnya pergerakan membuka ruang seluas-luasnya kepada anggota untuk memberikan sumbangan dan khidmat bakti.

Seharusnya barisan pimpinan jangan menyalah-tafsirkan hadith Rasulullah s.a.w. Ini berdasarkan kepada hujah-hujah berikut :

a) Ia bercanggah dengan Kudrat dan Iradat Ilahi dari segi penganugerahan kualiti, bakat dan keupayaan kepimpinan kepada hamba-Nya. Kita tidak boleh mengatakan Allah s.w.t hanya mengkhaskan anugerah kepimpinan kepada kaum lelaki sahaja. Firman Allah s.w.t :
نحن قسمنا بينهم معيشتهم في الحياة الدنيا ورفعنا بعضهم فوق بعض درجات ليتخذ بعضهم بعضا
سخريا
Maknanya : “ Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain “.

b) Ia bercanggah dengan keutamaan yang diberikan oleh Islam kepada peri pentingnya keahlian, kelayakan dan keupayaan. sebagai syarat utama menjayakan sesuatu kepimpinan. Sabda Rasulullah s.a.w :
اذا وسد الأمر الى غير أهله فانتظر الساعة
Maksudnya : “ Apabila sesuatu pekerjaan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kebinasaannya ”.

Sesungguhnya anggota pergerakan tidak mampu mempertingkatkan keupayaan di dalam kerja-kerja organisasi sekiranya masih ada dalam diri mereka perasaan imperiority complex (rendah diri) dan merasakan tanggungjawab berorganisasi merupakan satu bebanan. Kadangkala ada di antara mereka menggunakan alasan di alam kampus bukan masanya. untuk terlibat dengan kerja-kerja organisasi kerana ianya boleh mengganggu penumpuan kepada pelajaran..

Untuk menghadapi permasalahan, sesebuah pergerakan perlu mewujudkan hubungan komunikasi kemasyarakatan yang baik. Di dalam jalinan hubungan masyarakat, pergerakan perlu mendedahkan kepentingan dan peranan organisasi. Diharapkan pendedahan ini memberikan kefahaman kepada masyarakat dan mereka mempunyai kecenderungan untuk menyumbangkan tenaga, material dan fikiran demi kemajuan sesebuah pergerakan.

Kertas kerja yang ada ini adalah sebagai pendedahan awal tentang pentingnya penglibatan golongan siswi di dalam kerja-kerja organisasi. Pengalaman berorganisasi di alam kampus amat memberikan manfaat yang cukup berguna apabila berhadapan dengan masyarakat di medan perjuangan yang sebenar dan tribulasi yang mencabar..

No comments: