Sunday, September 6, 2009

TIDAK AKAN MASUK NERAKA ORANG YANG MENANGIS KERAN ATAKUTKAN ALLAH

TIDAK AKAN MASUK NERAKA ORANG YANG MENANGIS KERANA TAKUTKAN ALLAH

Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."

Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.

Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."

Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."

Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)


Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku."

Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W" Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.

Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T. Telah bersabda Rasulullah S.A.W, " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."

ANSARULLAH

ANSARULLAH
Antara karakter Ansarullah yang layak memikul tugas membela agama Allah ialah :

Memanfaatkan potensi diri untuk agama Allah .

Sesiapa yang menggunakan penanya untuk menegakkan kalimah Allah maka dia adalah pembela Allah . Sesiapa yang menghulurkan hartanya untuk membela kebajikan kaum muslimin maka dialah Mujahid Allah .Sesiapa yang menggunakan tenaga dan fikirannya mendidik generasi Islam, jika dia mati pada jalan itu, maka dia bergelar Syahid fi Sabilillah. Sesiapa yang menunjukkan kebaikan, dia mendapat pahala sama dengan pahala orang yang mengerjakannya tanpa mengurangi pahala orang itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melihat kemungkaran maka ubahlah ia dengan tangannya, apabila dia tidak sanggup ubahlah dengan lidahnya, apabila ia tidak sanggup maka ubahlah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Membela sesuatu fahaman tidaklah semudah yang kita bayangkan, jika kita tiada keyakinan mengenai fahaman itu dan tiada kecintaan kepadanya maka tidak akan tergerak hati kita untuk membelanya.Seperti orang yang aktif menggerakkan suatu perniagaan, untuk mendapat kejayaan, dia mesti faham selok-beloknya, mengkaji dengan penelitian tepat dan berani mencuba kerana yakin akan mendapat keuntungan berlipat ganda.Begitu pula halnya dengan orang yang berniaga pada jalan Allah . Dia mesti mengikut proses perjalanan dakwah dengan ilmu dan kepakaran, tenaga dan usaha, harta dan jiwanya untuk memenangi agama Allah .

Seperti firman Allah Taala yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Taala sudah membeli daripada orang mukmin, diri dan harta mereka dengan nilaian syurga.” (Surah Al-Taubah, ayat 111)

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan apa saja kebaikan yang kamu usahakan bagi diri kamu, sudah tentu kamu akan mendapat pahalanya di sisi Allah .” (Surah Al-Baqarah, ayat 110)

Menjadikan Allah , Rasul dan orang mukmin sebagai penolong.

Ciri pembela agama Allah termaktub dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat seraya tunduk kepada Allah , dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya dan orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pendokong Allah itulah yang pasti menang.”

Seorang pembela agama menyerahkan hatinya untuk Allah , Rasul dan orang beriman. Dia tidak disibukkan dengan urusan remeh-temeh yang boleh menghabiskan masa dan tenaga. Hari-harinya diisi perbuatan bermanfaat untuk umat. Kekuatan seorang pembela agama terletak pada kuatnya ibadat kepada Allah yang disebutkan dalam ayat ini, sembahyang dan zakat.Sembahyang membekalkan tenaga rohani yang boleh melonjakkan daya kekuatan jasmani, mencerahkan pemikiran dan mententeramkan perasaan. Semua itu sememangnya diperlukan seorang yang sentiasa dicabar di atas jalan dakwah.Sementara zakat pula mendidik jiwa untuk merelakan harta, sesuatu yang paling disayangi untuk membuktikan kebenaran imannya. Kedua-dua ibadat itu tidak akan sempurna tanpa persekitaran yang baik, iaitu sokongan orang mukmin yang membentuk jemaah umat Islam.

Tidak berdukacita dengan tribulasi dakwah.

Hanya orang yang sabar menahan sakit boleh menang dalam setiap pertempuran. Bukan atas sebab siapa lebih kuat dan perkasa. Sesungguhnya jalan dakwah adalah jalan sengsara dan seksaan yang pedih. Di sana hadir penentang dan musuh yang akan memerangi syiar agama Allah . Mengapa Allah tentukan jalan sukar dilalui Rasulullah SAW untuk mendapat kemenangan? Mengapa tidak langsung diberikan kemenangan itu dengan cepat dan mudah?Ketentuan itu berlaku atas hikmah supaya pembela agama Allah diuji siapa yang paling baik amalannya dan jalan dakwah itu juga adalah suatu proses mematangkan iman seseorang. Supaya Allah mengetahui siapakah yang benar imannya dan siapakah berdusta.Sudah ramai yang terkorban di jalan Allah , ada juga menyerah kalah dan meninggalkan jalan-Nya ataupun terseleweng dengan matlamat lain untuk kepentingan diri sendiri. Siapakah pembela yang istiqamah?

Al-Quran menjanjikan kemanisan bagi kita yang teguh dalam perjuangan. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menyatakan: Tuhan kami ialah Allah dan kemudian meneguhkan pendirian mereka maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu berasa sedih dan bergembiralah dengan memperoleh syurga yang dijanjikan Allah kepada kamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)