Friday, November 21, 2008

BELAJAR DARI TARIQ BIN ZIYAD DALAM PR

BELAJAR DARI TARIQ BIN ZIYAD DALAM PAKATAN RAKYAT

Dalam masa dua hari sahaja, aku berjaya mengkhatamkan buku setebal 242 muka surat, yang membicarakan satu lagi sejarah hidup seorang pahlawan Islam yang agak terkenal, iaitu Tariq bin ziyad.

Membaca buku itu, aku agak tertarik dengan perjuangan panglima perang tersebut. Lebih-lebih lagi, perjuangan beliau itu seakan-akan menyamai situasi PAS dalam menghadapi perjuangan Islam dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Malaysia.

Jika diperhatikan kepada sejarah perjuangan Tariq bin Ziyad, didapati perjuangan membuka andalusia atau kini dikenali sebagai sepanyol adalah disebabkan dendam rakyat andalusia kepada pemerintah mereka yang bernama Roderiga yang berbangsa Gotik yang terlalu zalim terhadap rakyatnya.

Ekoran dari kebencian inilah, menyebabkan salah seorang dari panglima perang kepada Roderiga yang bernama Julian beragama kristian, telah berjumpa dengan wakil Khalifah Islam[1] di Afrika bernama Musa bin Nusair bagi menggulingkan kerajaan Andalusia.

Pertemuan antara Julian dan Musa bin Nusair itu melahirkan satu keputusan bahawa tentera Islam akan pergi menyerang pemerintah Andalusia demi memberikan keadilan kepada rakyatnya, walaupun rakyat andalusia tidak beragama Islam.

Pihak Musa bin Nusair pun bermesyuarat, yang akhirnya melahirkan satu keputusan bahawa Tariq bin Ziyad perlu dilantik menjadi panglima perang dalam menggulingkan Roderiga, walaupun jika dirujuk kepada salsilah Tariq bin Ziyad, beliau adalah seorang budak suruhan dan dari bangsa Barbar yang bukan dari keturunan arab.

Maka bermulalah permusafiran Tariq bin Ziyad ke Andalusia yang ditunjuk jalankan oleh seorang yang bukan beragama islam, iaitu Panglima Julian.

SERANGAN BERMULA

Jika diperhatikan dalam sejarah perjuangan tariq bin Ziyad dalam menguasai Andalusia (sepanyol), didapati serangan bersenjata yang dilancarkan hanya beberapa kali sahaja. adapun yang lain, penguasaan terhadap sesuatu daerah di Andalusia, semuanya disebabkan dakwah Islamiyyah yang disampaikan oleh Tariq bin Ziyad, dengan menceritakan islam dalam bentuk yang sebenar, disamping akhlak Islam yang ditunjukkan oleh tentera Islam kepada masyarakat Andalusia.

Apabila serangan mematikan kekuasaan Roderiga sudah berjaya, menyebabkan kekuasaan itu hendak disambung oleh salah seorang Panglima Rideriga yang bernama Goted.

Ceuta yang menjadi tempat terletakkanya istana roderiga telah berjaya di kuasai oleh tentera Islam, menyebabkan Goted telah lari keluar dari Ceuta dan berlindung dibawah daerah andalusia yang lain.

Di sana Goted menyusun strategi bagi mengalahkan tentera Islam, tetapi ternyata gagal, apabila rakyat meraka dari daerah lain agak tidak mahu menerima mereka disebabkan mereka amat terkenal sebagai pemerintah yang terlalu zalim.

Keadaan menjadi lebih menggerunkan lagi kepada Goted, apabila masuknya tentera Islam ke dearah-daerah dibawah kekuasaan Andalusia, menyebabkan ramai rakyat andalusia memeluk Islam ekoran melihat akhlak Islam yang ditunjukkan oleh Tentera Islam pimpinan Tariq bin Ziyad, juga penerangan Islam yang dilakukan secara serius oleh Tariq bin Ziyad sendiri.

Bukan sekadar itu sahaja, bahkan sebelum Tariq bin Ziyad meninggalkan sesuatu daerah, Tariq mengarahkan tenteranya mengajar ilmu peperangan kepada sesuatu daerah yang telah diislamkan, agar mereka dapat menyelamatkan diri dikala datang tentera goted untuk menyerang mereka.

Apa yang menarik dari kisah Tariq bin Ziyad, sebelum Tariq bin Ziyad menguasai sesuatu daerah, beliau tidak terus masuk ke daerah-daerah tersebut, tetapi terlebih dahulu berhenti bermalam di sempadan daerah. Kemudiannya, beliau akan menghantar wakilnya yang bernama Julian, iaitu seorang yang tidak beragama Islam agar mempengaruhi rakyat dalam daerah tersebut bagi menggambarkan kehadiran tentera Islam bukanlah mahu berperang, tetapi hanyalah mahu memberikan keadilan kepada manusia sejagat.

Disebabkan Julian seorang yang bijak berkata-kata, menyebabkan rata-rata rakyat terpedaya dengan kata-katanya, dan apabila tentera Islam pimpinan Tariq bin Ziyad masuk, ternyata kata-kata Julian itu benar, menyebabkan ramai rakyat dalam daerah-daerah di Andalusia tertarik dengan Islam dan akhirnya memeluk Islam dan mereka mengislamkan daerah-daerah yang mereka duduki itu.

PKR ADALAH JUNCTION

Meneliti kisah ini, aku beranggapan beberapa watak-watak dari kisah Tariq bin Ziyad ini dapat diberikan perhatian dalam usaha hendak mengislamkan negara yang tercinta ini, iaitu Malaysia.

Padaku, watak Julian ini boleh diletakkan kepada PKR, kerana golongan ini adalah golongan yang merupakan jambatan antara kita dari PAS untuk berjumpa dengan Non Muslim, sama ada dari PKR sendiri atau dari DAP dalam menyampaikan Islam.

Apabila dilihat, sokongan rakyat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat pada pilihanraya ke 12 baru-baru ini, kita dapati, ianya bukanlah kerana mereka mengerti dan memahami Islam, tetapi lebih kepada mereka benci dengan BN yang terlalu zalim. Keadaan ini agak sama berlaku dalam kerajaan Andalusia pimpinan Roderiga, yang menyebabkan salah seorang panglima roderiga sendiri, iaitu julian yang telah berjumpa dengan Musa bin Nusair untuk menggulingkan kerajaan Andalusia pimpinan Roderiga ekoran kezaliman yang telah dilakukan.

Cumanya, disebalik kebencian rakyat terhadap BN ini, PAS yang memegang watak sebagai Tariq bin Ziyad, sewajibnya mengambil sikap mengambil segala peluang yang ada dalam menyampaikan Islam, menunjukkan akhlak-akhlak islam kepada rakyat, agar mereka akan memilih Islam bahkan memeluk Islam.

PENUTUP

Setelah membaca buku Kisah perjuangan tariq bin Ziyad, aku merasakan banyak perkara yang perlu kita ambil pengajaran dari kisahnya itu, terutama dalam usaha mengislamkan negara kita ini, Malaysia.

Memang tidak dinafikan, kisah pejuang-pejuang islam bukanlah dalil, tetapi dalam sesuatu keadaan, Islam menyuruh kita mempelajari dan mengambil pengajaran dari orang-orang lama.

Sabda Nabi SAW:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya;
”Barangsiapa yang melalui jalan orang lalu dalam mendapatkan ilmu, nescaya Allah akan memudahkannya jalan menuju ke Syurga[2]”

Sekian,

Diambil dari blog;

Al-Bakistani
http://one-g.blogspot.com

abu_abdillah_azzam@yahoo.com