Tuesday, February 17, 2009

Adakah Tidur Di Bilik Sendiri Tanpa Baju Satu Kesalahan???Elizabeth Wong Tidak Perlu Letak kan Jawatannya Sebagai EXCO Kerajaan Negeri Selangor

SHAH ALAM, 17 Feb: "Adakah tidur tanpa baju di bilik tidur sendiri satu kesalahan?" tanya anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam blognya berikutan isu gambar terdedah Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.
Bagi beliau, jika dengan gambar itu sahaja, Exco kerajaan negeri Selangor itu tidak perlu meletakkan jawatannya kerana ia bukan kesalahan.

Yang bersalah adalah pihak yang menceroboh ruang peribadi beliau (bilik tidur), mengambil gambar dan seterusnya menyebarkannya kepada pihak yang tidak layak untuk melihat gambar itu, kata Khalid.

"Lainlah kalau berbogel di khalayak ramai," kata Khalid.

Bagi Khalid, orang ramai tidak perlu pergi lebih jauh dari isu itu dan tidak perlu membuat andaian yang bukan-bukan dalam hal ini.

"Ada yang menambah dan mengatakan ini bukti kurangnya moral kerana pasti YB Eli mempunyai hubungan seks dengan orang yang mengambil gambarnya.

"Itu sekali lagi andaian dan sekiranya YB Eli seorang Islam, nak dituduh zina sebegitu, pihak penuduh perlu membawa 4 orang saksi. Kalau tiada, diam! Andaian-andaian tak main. Boleh jatuh kazaf," tulis Khalid lagi.
Bahkan, katanya, dalam Islam jika ada pengakuan zinapun orang yang membuat pengakuan sahaja yang terlibat bukan temannya.

"Itu kaedahnya terhadap orang Islam. Tetapi, YB Eli bukan seorang Islam," katanya.

Bagi Khalid, kalau Eli dipaksa atau didesak meletak jawatan, maka mereka yang menganiayanya akan mencapai kehendak mereka.

"Dan kerajaan Selangor kehilangan seorang yang (setakat mana saya tahu) menjalankan tugasnya dengan dedikasi," katanya.

Kenyataan Khalid, salah seorang AJK Biro Politik PAS Pusat ini datang bersama dengan kenyataan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.
Mei Fun berkata, Wanita MCA mengecam keras tindakan mereka yang terlibat mengambil gambar tanpa kebenaran dan seterusnya menyebarkan gambar itu.
Sebelum ini, anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali juga mengecam tindakan ini.