Friday, January 8, 2010

Konsensus 2 badan pelajar UM: Hidupkan wacana antara kaum

Ketika isu kontroversi kalimah “Allah” kini muncul debat panas, pertubuhan mahasiswa Islam dan Kristian Universiti Malaya (UM) mencapai konsensus bersama, antara lain menggesa agar wacana dan dialog antara agama diberikan ruang dengan seadil-adilnya kepada semua agama supaya prasangka yang tidak berasas dalam menilai agama lain dapat dielakkan.

Ia merupakan sebahagian daripada konsesus bersama dicapai oleh Persatuan Mahasiswa Islam UM dan Persatuan Kristian Varsiti UM berhubung isu-isu agama dan kepercayaan pada masa sekarang khususnya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Katolik Herald menggunakan kalimah 'Allah.

Kedua-dua pertubuhan itu juga berpendapat badan-badan dan institusi-institusi agama, bahkan pemimpin-pemimpin agama wajar mengambil langkah proaktif dengan berjumpa dan meningkatkan persefahaman di antara mereka dan pengikut agama-agama masing-masing.

Justeru, dalam mesej persefahaman ini juga, kedua-dua pertubuhan berkenaan menuntut kepada semua pihak agar memerhatikan beberapa perkara pokok yang perlu diambil tindakan segera, antaranya menuntut isu-isu agama tidak boleh dimanipulasikan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak atas apa-apa kepentingan sekalipun.

“Kami mengecam pihak-pihak yang berkepentingan dalam memainkan isu ini untuk tujuan provokatif.

“Kami menggesa agar seluruh keluarga dan masyarakat memandang serius untuk mendidik ahli komuniti masing-masing dengan kepercayaan agama yang telah dipilih melalui kaedah yang sebenarnya, bukan saduran yang bersifat tidak lengkap sehingga boleh mendatangkan sikap prejudis terhadap penganut agama lain,” kata pemimpin kedua-dua pertubuhan mahasiswa Islam dan Kristian UM dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan atas nama Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM Shazni Munir Mohd Ithnin dan Presiden Persatuan Kristian Varsiti UM Emily Tang.

Melihat kepada pelbagai polemik yang berlaku berhubung penggunaan kalimah “Allah” dan banyak lagi isu-isu agama dan kepercayaan yang berbangkit sebelum ini, kedua-dua perstuan berkenaan - pimpinan tertinggi dua persatuan besar yang menaungi mahasiswa Islam dan Kristian memutuskan untuk mengeluarkan satu persefahaman bersama berhubung isu-isu ini yang menjurus ke arah penyelesaian jangka masa panjang selain tuntutan-tuntutan yang dirasakan wajar terhadap seluruh pihak.

Ia mungkin boleh dijadikan panduan kepada semua pihak sebagai salah satu jalan yang relevan dan sesuai dalam menguruskan isu-isu yang berlaku di sekitar kepercayaan dan agama.

Selain itu mereka juga mendesak agar diberikan pendidikan yang benar dan terbaik kepada setiap penganut agama agar perbezaan dan persamaan setiap agama itu diketahui secara adil oleh semua terutama dari sudut hal-hal yang bersifat fundamental.

Justeru kata mereka perundangan bukanlah satu-satunya cara untuk menyelesaikan permasalahan yang ada dalam keadaan kemungkinan keputusan-keputusan mahkamah tersebut boleh dimanipulasi oleh sesiapa sahaja.

“Badan-badan dan institusi-institusi agama, bahkan pemimpin-pemimpin agama wajar mengambil langkah proaktif dengan berjumpa dan meningkatkan persefahaman di antara mereka dan pengikut agama-agama masing-masing,” kata mereka.

No comments: